top of page

Merdeka sebenar: Generasi muda bebas dadah, pengaruh negatif, berdisiplin

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
Aug 20
2 min read
David bersama Adam dalam sambutan kemerdekaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang
David bersama Adam dalam sambutan kemerdekaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang

Kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan, sebaliknya apabila generasi muda mampu membebaskan diri daripada dadah, budaya merempit dan pengaruh negatif yang berpotensi memusnahkan masa depan, kata David Cheong Kian Young.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang itu berkata, anak-anak muda harus berani memilih lingkungan pergaulan yang baik, mengisi kehidupan dengan ilmu dan disiplin serta menghormati kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.


"Jangan sekadar bertanya tentang perkara yang boleh diberikan oleh negara kepada kita, tetapi tanyalah juga apakah sumbangan yang mampu kita berikan kepada negara," katanya menerusi satu kenyataan.


Kelmarin, Program Kajang Bersih, Kajang di Hatiku (KBKD) 5.0 telah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit yang merupakan kesinambungan usaha untuk membudayakan kebersihan, kes keselamatan, disiplin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.


Turut hadir menyempurnakan perasmian penutup program ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.


David Cheong memberi ucapan
David Cheong memberi ucapan

Mengenai program tersebut, David Cheong berkata para pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat serta mengunjungi tapak-tapak pameran yang disediakan oleh agensi dan rakan strategik.


Lawatan itu, ujarnya membuka ruang kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan kebersihan, keselamatan, kesihatan, pencegahan dadah, pendidikan, kemahiran dan pembangunan sahsiah.


"Pengisian ini bukan sekadar menceriakan program, malah bertujuan menyemai semangat patriotisme, keyakinan diri, kreativiti dan rasa cinta terhadap negara dalam kalangan para pelajar.


"KBKD juga bukan sekadar kempen membersihkan kawasan sekolah atau persekitaran (tetapi) membawa mesej lebih besar iaitu membentuk sikap dan rasa tanggungjawab terhadap tempat yang kita diami.


"Bandar yang bersih dan selamat tidak dapat diwujudkan melalui usaha pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan sekolah, keluarga, komuniti dan para pelajar sendiri," katanya lagi.


Dalam pada itu, David Cheong yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor menyifatkan kejayaan program berkenaan didukung oleh kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik.


Ia termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia, Majlis Perbandaran Kajang, IPD Kajang, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Penjara Kajang, AADK Hulu Langat, KDEB Waste Management, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC).


Justeru beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pentadbiran SMK Jalan Bukit, barisan guru, para pelajar, agensi kerajaan, rakan strategik, petugas serta semua pihak yang telah bekerja keras menjayakan program tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page