Pemuda Pakatan Harapan (PH) perlukan seorang ketua baharu bagi memberi arahan gerak kerja yang teratur kepada sayap pemuda ketiga-tiga parti komponen.
Setiausaha Pemuda PH Sabah, Razeef Rakimin berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dijangkakan pada hujung tahun ini memerlukan jawatan Ketua Pemuda PH yang kosong selepas Langkah Sheraton setahun lalu diisi.
"Baru-baru ini terdapat ura-ura mengenai proses pemilihan Ketua Pemuda Pakatan Harapan sedang berlangsung.
"Namun, masih tidak ada sebarang pengumuman dibuat berkenaan Jawatankuasa Pimpinan Pemuda PH yang baharu.
"Saya tidak hairan jika sayap pemuda parti komponen dalam PH terus bercakaran sesama sendiri kerana untuk memilih kepimpinan pun mereka masih gagal untuk selesaikan," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Razeef yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa kepimpinan pemuda ketiga-tga parti komponen segera mengadakan perbincangan dan menyusun struktur jawatankuasa Pemuda PH yang baharu agar sayap pemuda dapat menyusun gerak kerja menjelang PRU-15.
“Di peringkat AMK, kami telah bersedia di kesemua 222 Parlimen kerana KEADILAN mempunyai 222 Cabang seluruh Malaysia.
“Namun, bagi mendepani Perikatan Nasional kita perlukan satu gabungan seperti dalam PRU 14 lalu.
“Maka isu ini perlu diselesaikan segera dan bukan bertelingkah seperti ‘gila jawatan’,” kata Razeef lagi.
Untuk rekod, pada awal penubuhan PH Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad diamanahkan memimpin Pemuda PH sehingga mencapai kemenangan pada PRU-14.
Selepas Pemilihan KEADILAN pada 2018 dan pertukaran kepimpinan AMK, Ketua Armada Bersatu ketika itu, Syed Saddid dilantik mengetuai Pemuda PH pada 13 Disember 2018 sebelum bekas Menteri Belia dan Sukan itu meninggalkan PH pada Februari tahun lalu.
Comments