Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa hari ini tiba di China dalam kerangka lawatan kerja enam hari bagi meninjau kerjasama teknologi membangunkan bandar pintar.
Menurut Dr Zaliha, beliau akan mengunjungi tiga bandar utama di sana, iaitu Hangzhou, Shanghai dan Shenzhen.
"Lawatan ke Hangzhou rentetan kerjasama melalui Letter of Intent di antara DBKL dan Kerajaan Perbandaran Hangzhou yang telah ditandatangani pada April lalu terkait projek KL20.
"Saya dijadualkan bertemu mata dengan Mayor Yao Gaoyuan, Datuk Bandar Hangzhou dalam satu sesi makan tengah hari yang akan dihoskan oleh beliau untuk membincangkan ruang kerjasama tersebut dengan lebih mendalam.
"Di Shanghai, lawatan kami akan berfokus kepada potensi kerjasama 'twin city' di antara Putrajaya dan Shanghai yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ini.
"Delegasi yang turut melibatkan Presiden Perbadanan Putrajaya akan bertukar kepakaran terkait konsep bandar pintar, di mana kita tahu bahawa Shanghai telah terkehadapan dari aspek tersebut," katanya dalam kenyataan.
Manakala kunjungan ke Shengzhen, kata beliau, akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan 'prominent industry player' dalam bidang teknologi seperti Huawei.
"Baru-baru ini, Huawei telah menyatakan hasrat mereka untuk melabur di Labuan dalam teknologi bandar pintar.
"Selain Huawei, kami juga akan turut berbincang dengan konglomerat teknologi lain seperti Tencent, BYD dan Baidu bagi mencipta ruang kolaborasi dengan mereka," ujarnya.
Terbaharu, ketibaan delegasi Dr Zaliha disambut oleh Penolong Pengarah Hubungan Luar Negara Perbandaran Hangzhou, Li Dao Qiao. Delegasi Malaysia kemudiannya dibawa melawat ke dua syarikat teknologi terkemuka dunia, Dahua Technology dan ISVision (Hangzhou) Technology Co. Ltd di bandar itu.
Katanya, Dahua Technology merupakan penyedia global perkhidmatan IoT berasaskan video sejak 2001, sedang beroperasi di Malaysia melalui anak syarikatnya, Dahua Security Malaysia Sdn Bhd, di Petaling Jaya. Delegasi Malaysia akan berbincang mengenai potensi pelaburan berterusan dan pengembangan perniagaan di Malaysia.
ISVision pula adalah syarikat berteknologi tinggi dalam 'industrial machine vision' yang memfokuskan pembuatan automobil serta pengoperasian kereta api.
Syarikat tersebut, kata Dr Zaliha, berminat untuk memasuki pasaran Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan ke negara ASEAN, dengan potensi Malaysia sebagai hab ASEAN untuk syarikat tersebut.
Yorumlar