'Menteri Wilayah di bawah kawalan PM, bukan DAP'
- Suara Keadilan
- 11 minutes ago
- 1 min read

Masyarakat Melayu tidak wajar berasa terancam dengan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad (gambar) berkata, fungsi Menteri Wilayah Persekutuan kini berbeza berbanding sebelum ini kerana tidak lagi mempunyai kementerian sendiri, sebaliknya berada di bawah kawalan dan pemantauan Perdana Menteri.
"Sekarang, Menteri Wilayah berada di Bawah Jabatan Perdana Menteri. Dari segi struktur, menteri ini berada di bawah kawalan dan pemantauan Perdana Menteri.
"Menteri tiada kuasa ikut suka. Dia terpaksa akur dengan kehendak undang-undang, bukan ikut kemahuan sendiri. Jadi, tidak timbul isu dia boleh bertindak sesuka hati," katanya dalam podcast Bicara Haji Khalid Samad Siri 279 pada Khamis.
Mengulas kritikan bahawa jawatan Menteri Wilayah seharusnya dipegang oleh orang Melayu, Khalid menegaskan status kaum tidak menjamin dasar yang lebih baik jika hala tuju pembangunan tidak dipertahankan.
Malah Datuk Bandar dan ramai kakitangan dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan juga jelasnya adalah majoriti orang Melayu
Justeru tegasnya, naratif ketakutan kaum yang sedang dimainkan sesetengah pihak adalah tidak berasas dan hanya bertujuan mengalihkan perhatian daripada agenda sebenar pembangunan Kuala Lumpur.
"Fokus sebenar seorang menteri ialah keupayaan membangunkan idea dan melaksanakan dasar untuk memajukan Wilayah Persekutuan mengikut hala tuju yang ditetapkan kerajaan.
"Isu kaum tidak perlu diperbesarkan. Kalau diberi kepada orang Melayu sekalipun, tetapi Menara Kuala Lumpur diswastakan, apa maknanya?," ujar bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dipetik.





