Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya peka dengan penderitaan rakyat bukannya terus membuli pihak yang mengkritik kelemahan mereka.
Bagi Mahasiswa Pakatan Harapan (PH) tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri yang konsisten menekan dan menuduh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Vevenoah Mosibin menipu dengan membuat rakaman video menjawab peperiksaan di atas pokok dan disiarkan di akaun You Tubenya amat dikesalkan.
Menurut kenyataan Mahasiswa PH, tuduhan yang dilemparkan ke atas Vevenoah itu amat bertentangan dengan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebelumnya yang mengumumkan bahawa kerajaan merancang untuk membina menara telekomunikasi berhampiran kampung pelajar malang itu bagi membolehkan sambungan 4G, sedikit masa dahulu.
"Amat dikesalkan respon daripada SKMM bercanggah dengan kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Timbalan Menteri yang kekal menuduh Saudari Vevenoah menipu dan sekadar mahu mendapatkan perhatian.
"Tuduhan yang berat ini sehingga memberi kesan kepada saudari Vevenoah menggambarkan kerajaan PN langsung tidak mengendahkan isu realiti mahasiswa malah cuba menutup kelemahan mereka dengan menuduh dan membuli mahasiswa.
"Mahasiswa PH menuntut kedua dua Timbalan Menteri PN itu memohon maaf kepada pihak keluarga Vevenoah Mosibin dan fokus untuk mencari penyelesaian kepada isu akses internet yang kian meruncing, lebih lebih lagi ketika semua universiti mengamalkan pembelajaran atas talian," kata kenyataan itu.
Mahasiswa PH juga kesal dengan sikap berdiam diri Kementerian Pengajian Tinggi dalam hal itu. Kementerian tersebut menurut mereka wajar menjalankan siasatan tersendiri dan mempertahankan Vevenoah sekiranya betul gadis tersebut mengambil peperiksaan di atas pokok sebagaimana yang didakwa.
"Ini satu diskriminasi dan penghinaan kepada mahasiswa. Mahasiswa PH ingin memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk campurtangan dalam hal ini kerana Vevenoah merupakan mahasiswa yang menjadi tanggungjawab Dr Noraini Ahmad.
"Kesombongan dan ketidakpedulian Kerajaan PN adalah signal yang jelas untuk menolak mereka di dalam PRN Sabah dan PRU 15 yang akan datang," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Irfan Mahzan; Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Amin Mubarak dan Protem Presiden Mahasiswa Roket Calvin Yeoh.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan beberapa bulan lalu, nama Vevenoah Mosibin tular kerana terpaksa memanjat pokok untuk mencari capaian internet bagi membolehkan beliau bagi menduduki peperiksaan secara dalam talian di Pitas, Sabah.
Kes beliau kembali tular apabila Zahidi menuduhnya sengaja merakam video untuk populariti sedangkan beliau tidak mengambil apa-apa peperiksaan ketika rakaman berkenaan dibuat.
Comments