top of page

Menteri KPWKM perlekeh nyawa warga emas, patut letak jawatan


Klip video Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Rina Harun yang berlakon sebagai penghantar makanan ke rumah sepasang warga emas terus mendapat kecaman warga net.


Selain isu itu, kecaman juga tertumpu kepada ketidakpekaan Rina terhadap penjagaan kesihatan warga emas sepanjang pandemik Covid 19 apabila Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Februari lalu mengesahkan hampir 70% daripada jumlah kematian akibat Covid di Malaysia terdiri daripada warga emas berusia lebih 60 tahun.


Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menerima hakikat bahawa Rina adalah Menteri yang paling gagal di antara anggota-anggota kabinet beliau


Katanya, dengan peranan Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM yang seharusnya membela nasib golongan rentan namun mereka tidak berbuat yang terbaik dalam usaha melambatkan jangkitan wabak Covid-19, terutamanya di pusat jagaan warga emas, maka keberadaan mereka berdua dalam kabinet seharusnya dipersoalkan.


"Yang jelas dapat dilihat 'peranan' Rina adalah sewaktu menjadi model majalah. Dan kini menjadi pelakon? Timbalan Menteri KPWKM pula membisu.


"Tambahan lagi, menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham 4 Mac lalu, kadar kematian dalam kalangan penghuni pusat jagaan warga emas agak tinggi, iaitu 1.48% berbanding kadar kematian kebangsaan sebanyak 0.38%. Seramai 610 penghuni di pusat jagaan warga emas sudah dijangkiti wabak Covid-19.


"Hakikatnya, keresahan dan kemurungan yang dihadapi oleh penghuni warga emas di pusat jagaan semakin meningkat kerana berlakunya pengasingan diri dan penjarakkan fizikal dalam jangka panjang akibat penularan wabak Covid.


"Oleh yang demikian, penghuni warga emas kekurangan akses kepada maklumat luar dan peluang bagi berjumpa dengan ahli keluarga dan rakan," kata Loh dalam satu kenyataan.


Menurut mantan Pengurus Program Warga Emas Chinese Welfare Services South Australia Incorporated itu lagi, isu kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi pekerja penjagaan pusat warga emas juga menjadi salah satu punca golongan berkenaan mudah terdedah kepada jangkitan Covid.


Hal itu, katanya, kerana bantuan penjagaan fizikal menjadi keperluan harian buat penghuni yang tidak dapat mengurus penjagaan diri tanpa dibantu.


"Oleh itu, saya memohon Rina mengambil sedikit masa menjawab beberapa persoalan


"Apakah tindakan mitigasi yang diambil oleh Rina setakat ini untuk memelihara kesihatan mental warga emas terutamanya penghuni di pusat jagaan orang tua sejak negara dilanda Covid?


"Adakah Rina memastikan penjaga atau kakitangan di setiap pusat penjagaan warga emas di negara ini dibekalkan PPE asas yang cukup dan digunakan mengikuti panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bertarikh 4 November 2020?" tanyanya.


Beliau juga bertanya sama ada menteri terbabit telah memohon Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengutamakan institusi penjagaan warga emas dan memberi kemudahan Pasukan Perubatan bergerak ke pusat penjagaan warga emas untuk memberikan suntikan vaksin?


Begitu juga dari segi sebaran media, Rina sepatutnya mengaktifkan Unit Komunikasi Korporat (UKK) dalam kementerian atau memohon kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang menjaga komunikasi dua hala bagi menyampaikan kesedaran pendaftaran vaksin kepada warga emas secara strategik.


"Adakah Rina telah memohon JKJAV bagi memastikan pemakluman jadual temujanji vaksin dijalankan melalui panggilan telefon memandangkan kebanyakkan warga emas kurang peka penggunaan SMS dan applikasi MySejahtera?


"Persoalan paling penting, adakah angka-angka kes kematian warga emas akibat Covid pada kaca mata Kabinet Perikatan Nasional (PN) cuma soalan matematik yang bukan melibatkan nyawa?


"Semua pihak telah memberi semua kemudahan termasuk proklamasi darurat yang dituntut oleh Kabinet PN. Mereka mempunyai kuasa mutlak bagi memerangi Pandemik Covid dan memimpin rakyat ke arah pemulihan pasca pandemik, apakah lagi Kabinet ini mahu daripada rakyat jika mereka sendiri terus gagal?" tanya beliau lagi.


Sehubungan tu, Loh mendesak Rina dan Timbalan Menteri KPWKM memohon maaf kepada ahli keluarga warga emas mangsa Covid-19 dengan segera dan berundur daripada jawatan masing-masing.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page