Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sewajarnya ditukar berikutan kegagalan beliau dan kementeriannya mengawal kenaikan harga barangan di pasaran.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, KPDNHEP seharusnya telah bertindak mengawal harga barang-barang keperluan menjelang perayaan Krismas, bukannya membiarkan harga bahan makanan dan sayur sayuran melambung.
"Berdasarkan laporan media termasuk media sosial, rakyat sangat terkesan dengan peningkatan harga barang yang berlaku secara mendadak, sama ada harga sayur, roti, ayam, alat gantian kereta, bahan binaan, ais dan pelbagai barangan lain. Malah pengumuman terbaru bahawa kos menunaikan haji juga bakal meningkat amat mengecewakan.
"Namun sehingga kini kita cuma mendengar alasan demi alasan dan melihat tindak balas lembab Menteri dan Kerajaan.
"Pada ketika ramai masih tertekan akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, malah ramai memilih mengeluarkan wang simpanan hari tua dari KWSP, atau meminjam dari pihak yang tidak sepatutnya demi kelangsungan hidup, Menteri KPDNHEP mestilah bertanggungjawab," katanya.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Alexander Nanta Linggi tidak berada malu menyatakan harga barang masih normal malah memaparkan pula pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) beliau yang kononnya amat baik sepanjang 100 hari memegang jawatan.
"Saya kesal dengan siri kenyataan Menteri bahawa “harga barang masih normal” dan beliau kononnya telah mencapai 100 peratus sasaran KPI bagi KPDNHEP.
"Ini membuktikan beliau tidak berpijak di bumi yang nyata dan tidak prihatin akan nasib serta kesengsaraan ahli-ahli “Keluarga Malaysia”.
"Memandangkan 100 hari telah berlalu sejak beliau dilantik, dan oleh kerana beliau cuma berlengah tanpa mengambil tindakan tegas dan pantas, Perdana Menteri mestilah mengotakan janji dan menukar Menteri KPDNHEP yang gagal ini
"Pada masa yang sama, Perdana Menteri sendiri perlu nyatakan apakah langkah-langkah yang akan diambil Kerajaan untuk segera menjamin harga barang dapat dikawal," katanya.
Tambah Fahmi, kenaikan harga barangan bukanlah khabar angin sebaliknya telah diakui oleh Ketua Perangkawan Malaysia berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI).
"Beberapa hari lalu, Ketua Perangkawan Malaysia telah mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Oktober yang meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun, menunjukkan harga barang benar benar semakin meningkat," katanya lagi.
Comments