Menteri Dalam Negeri santuni warga Taska Warisan De’ Qaseh
- Redzuan Shamsudin
- 1 hour ago
- 1 min read

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa mengadakan program Ziarah Kasih MADANI ke Taska Warisan De’ Qaseh di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.
Lawatan yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Fakhrul Razi Ab Wahab; serta Ketua Pengarah JPN, Dato’ Badrul Hisham Alias bagi meninjau persekitaran asuhan di jabatan bawah kementerian berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, KDN memaklumkan bahawa kunjungan tersebut bukan sekadar lawatan rasmi, sebaliknya mencerminkan keprihatinan menteri terhadap kebajikan anak-anak warga kementerian tersebut.
"Inisiatif Ziarah Kasih MADANI merupakan amalan berterusan beliau, selepas kunjungan terdahulu ke Taska KDN dan Taska Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Kehadiran Datuk Seri Saifuddin turut menceriakan kanak-kanak di taska berkenaan selain memberi motivasi kepada para petugas serta ibu bapa," menurut kenyataan itu.
Taska Warisan De’ Qaseh yang beroperasi di bangunan JPN menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi hingga kanak-kanak berusia empat tahun, dibantu lapan guru terlatih.
Seramai 45 kanak-kanak berada di bawah jagaan taska itu, terdiri daripada anak warga JPN dan kakitangan awam sekitar Putrajaya.
KDN turut menyifatkan lawatan tersebut turut mengukuhkan komitmen JPN dan KDN dalam menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang selamat, teratur dan mesra keluarga demi kesejahteraan warga kerja-nya.





