
Isu pekerja asing di Malaysia melibatkan pelbagai perkara dan tidak pernah diselesaikan secara tuntas.
Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertekad akan menyelesaikan isu berkenaan sebaik yang boleh agar kemasukan pekerja asing ke negara ini berjalan lebih lancar, teratur serta dipantau rapi.
"Lanjutan dari kunjungan saya ke Jabatan Imigresen Malaysia minggu lepas, hari ini saya mendapat taklimat penuh yang disampaikan oleh En. W. Husbi W. Mohd, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri.
"Saya turut meneliti isu terkait hal pekerja asing, khususnya yang melibatkan 6 sektor formal sedia ada merangkumi sektor pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian," katanya.
Menurut Saifiddin, tiba masanya isu pekerja asing diselesaikan dengan lebih baik dan menjamin hak asasi mereka yang bekerja di negara ini lebih terjamin.
"Isu dan permasalahan yang berbangkit akan diteliti satu persatu agar jalan penyelesaian serta dasar yang akan diperkenalkan atau ditambah baik akan lebih holistik dan mampan," katanya lagi.