Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berdoa agar tiada penduduk di kawasan itu yang terkena jangkitan virus Covid 19 kerana baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah melakukan lawatan di kawasan berkenaan.
Menurut Fahmi, Dr Zulkifli hadir ke Lembah Pantai pada 26 September lalu untuk satu program zakat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria.
"Saya difahamkan semua yang hadir program tersebut telah atau akan dipanggil untuk buat saringan.
"Kepada yang hadir program tersebut, sila beri kerjasama maksima, dan sila patuhi sepenuhnya arahan kuarantin di rumah.
"Saya doakan semua warga Lembah Pantai dilindungi dari Covid 19," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, dalam akaun Twitternya malam tadi, Fahmi berkata kes Dr Zulkifli menjadi 'bukti paling kukuh' keputusan untuk tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi yang pulang dari Sabah sebelum 27 September adalah keputusan yang tidak berasaskan bukti sains perubatan dan tidak betul.
"Malah saya berpandangan bahawa keputusan membenarkan mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 Sept dan diuji negatif di KLIA, KLIA2 untuk potong gelang pink - juga adalah keputusan yang tidak berasaskan fakta sains perubatan, dan tidak betul.
"Ia juga keputusan yang salah," katanya.
Netizen di laman sosial menyifatkan dengan pergerakan Dr Zulkifli ke banyak lokasi sebelum beliau disahkan positif Covid 19 maka akan terbentuk satu lagi kluster baharu, iaitu kluster menteri.
Dr Zulkifli sebelum ini dilaporkan menghadiri pelbagai program di lima negeri sejak beliau kembali dari Sabah.
Comments