top of page

Menjelang PRU 16: KEADILAN Perlu Jadi Parti Terkuat PH

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 2, 2024
  • 5 min read


Oleh: Hassan Abdul Karim


PENDAPAT: Tahun baharu 2024 seharusnya menjadi tahun bermulanya bagi KEADILAN membuat persiapan rapi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Malaysia kali ke-16 (PRU16).


Rekod pencapaian KEADILAN dalam PRU15 pada November 2022 lalu tidaklah memuaskan jika dibanding dengan PRU14 pada tahun 2018. KEADILAN menang 49 kerusi parlimen dalam PRU14. Tetapi dalam PRU15, KEADILAN kalah sebanyak 18 kerusi yang pernah dimenanginya dalam PRU14.


KEADILAN kalah teruk di negeri-negeri di utara Semenanjung dan juga di Pantai Timur. Misalnya KEADILAN kalah di parlimen Kangar, Perlis. Turun ke Kedah, KEADILAN kalah di parlimen Kulim Bandar Baru, Merbok, Kuala Kedah, Padang Serai dan Alor Setar. Kecuali di Alor Setar, semua calon yang kalah di Kedah dan Perlis itu adalah calon Melayu KEADILAN. Mujurlah Dr Taufik Johari dapat mempertahankan kerusi parlimen Sungai Petani. Itu pun kemenangan dengan majoriti yang tipis.


Prestasi KEADILAN jatuh merosot di Pulau Pinang. KEADILAN kalah buat pertama kali di kubu kuatnya di Permatang Pauh. Mujurlah Fadhlina Sidek menang di Nibong Tebal dengan merampas kembali kerusi parlimen Nibong Tebal yang pernah dikhianati dalam episod Langkah Sheraton pada tahun 2020.


Mujur juga Bakhtiar dan Sim Tze Sin masing-masing berjaya mempertahankan kerusi parlimen Balik Pulau dan Bayan Baru. Tetapi kekalahan Nurul Izzah, anak sulung kepada Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah di Permatang Pauh merupakan satu kejutan kepada KEADILAN.


Di Selangor yang menjadi benteng kebal KEADILAN sejak PRU tahun 2008 sehingga berjaya mengetuai Kerajaan Negeri selama tiga penggal telah menerima tamparan di mana KEADILAN telah kalah di dua kerusi parlimen yang selama ini dianggap kebal iaitu Kuala Langat dan Kapar.


Kedua-dua kerusi parlimen itu tewas kepada calon-calon profesional (doktor perubatan) dari Pas-PN. Namun begitu, KEADILAN masih dapat menarik nafas lega kerana Datuk Seri Amiruddin Shari berjaya merampas kembali kerusi parlimen Gombak dari Azmin Ali (Bersatu-PN).


Kemerosotan prestasi di PRU 15


Sejak 2008 KEADILAN telah memenangi dua kerusi parlimen di Pahang iaitu parlimen Kuantan dan Indera Mahkota. Rekod itu KEADILAN dapat kekalkan pada PRU13 dan PRU14. Tetapi kedua-dua kerusi parlimen tersebut tumbang kepada PN pada PRU15. Kini tidak ada seorang pun Ahli Parlimen KEADILAN dari Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Tanah Melayu.


Rekod buruk KEADILAN di Terengganu dan Kelantan kekal berlarutan hingga ke tahun 2024. Pada PRU tahun 1999, KEADILAN (ketika itu bernama Parti Keadilan Nasional (KeADILan)) berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen di Kelantan iaitu di parlimen Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah.


Ada dua sebab utama kemenangan itu. Pertama kerana berlakunya kebangkitan reformasi bermula pada akhir tahun 1998 di mana Anwar Ibrahim dizalimi dan dipenjarakan. Sebab kedua adalah atas sokongan Pas ketika itu kepada calon-calon KeADILan. Calon KeADILan yang menang di Kota Bahru ialah Ustaz Ramli Ibrahim. Calon yang menang di Ketereh ialah Muhammad Mustapha. Manakala calon yang menang di Tanah Merah ialah Hj Saufi.


Di Terengganu pula, KeADILan pernah menang di parlimen Kemaman dalam PRU tahun 1999. Calonnya ialah Abdul Rahman Yusof. Tetapi dalam PRU15 pada November 2022, KEADILAN kalah di semua kerusi yang ditandingi di Terengganu dan Kelantan.


Trend merosot sokongan terhadap KEADILAN kini menjalar ke negeri-negeri di selatan Semenanjung, misalnya Melaka. Kerusi parlimen Tangga Batu yang KEADILAN menangi dalam PRU tahun 2018 telah kalah kepada calon Pas-PN. Nasib baik parlimen Hang Tuah Jaya masih dapat dipertahankan oleh Adam Adli, Ketua Angkatan Muda Keadilan.


Keputusan pilihanraya PRU15 untuk KEADILAN juga merosot di Sabah dan Sarawak. Di Sabah, KEADILAN tewas di parlimen Ranau, Putatan dan Tawau yang pernah dimenangi pada PRU14. Mujurlah Mustaffa Sakmud calon KEADILAN berjaya merampas kerusi parlimen Sepanggar dari Warisan.


Begitu juga prestasi KEADILAN buruk di Sarawak dalam PRU15. KEADILAN tewas di parlimen Selangau, Saratok dan juga Puncak Borneo. Ketiga-tiganya tumbang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Mujur prestasi KEADILAN di Negeri Sembilan secara relatifnya masih baik kerana dapat mempertahankan kerusi parlimen Port Dickson. Itupun disebabkan faktor calonnya ialah Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.


Hanya di Johor KEADILAN dapat mengekalkan kekuatannya dan dapat mempertahankan kesemua tujuh kerusi parlimen yang pernah dimenangi pada PRU14. Dalam PRU15, KEADILAN Johor berjaya menang di Segamat, Ledang, Sekijang, Batu Pahat, Johor Bahru, Tebrau dan Pasir Gudang. Pada PRU15, KEADILAN juga berjaya merampas kembali tiga kerusi parlimen yang dikhianati dalam Langkah Sheraton iaitu Segamat, Batu Pahat dan Tebrau. Namun percubaan KEADILAN untuk merampas parlimen Sembrong dan Tenggara masih gagal.


Apa KEADILAN perlu lakukan?


Ada tiga perkara sekurang-kurangnya yang KEADILAN patut lakukan untuk kembali kuat sesuai Presidennya kini Anwar Ibrahim adalah seorang Perdana Menteri.


Pertama, KEADILAN perlu merampas kembali semua kerusi parlimen yang telah tewas dalam PRU15. Senarainya agak panjang dari Kangar, Perlis hingga ke Tawau, Sabah dan Puncak Borneo di Sarawak.


Kedua, calon calon yang berpotensi, berkaliber dan berpengalaman seperti Nurul Izzah Anwar perlu mengetuai usaha untuk menawan balik kerusi-kerusi parlimen yang telah kalah itu.


Jika Nurul Izzah Anwar yang mempunyai watak kepimpinan yang karismatik seperti Benanzir Bhutto dan Megawati Sukarnoputri berjaya dalam misi tersebut, maka tanpa syak lagi Nurul Izzah yang dalam bahasa Inggeris memiliki "Prime Minister materials" akan muncul kembali sebagai pemimpin masa depan KEADILAN yang amat menjanjikan.


Strategi ketiga ialah pemimpin-pemimpin utama KEADILAN sekarang seperti Rafizi Ramli (Timbalan Presiden) dan Nik Nazmi (Naib Presiden) perlu mencontohi Salahuddin Ayub (arwah). Salahuddin sebagai Ketua Pemuda dan Naib Presiden Pas satu waktu dahulu pernah menang di kerusi parlimen Kubang Krian di Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas pada tahun 2008.


Tetapi Salahuddin mengambil cabaran dengan pulang ke Johor pada PRU13 tahun 2013. Beliau sanggup meninggalkan kerusi selamat di Kubang Krian, Kelantan untuk bertanding di parlimen Pulai, Johor pada tahun 2013. Salahuddin kalah dalam pilihanraya tersebut.

Tetapi Salahuddin tidak lari. Beliau terus berkubu di parlimen Pulai.


Akhirnya pada PRU 14 tahun 2018, Salahuddin menang di Pulai. Pada PRU 15 Salahuddin sekali lagi menang di sana. Apabila Salahuddin meninggal dunia pada tahun 2023, satu pilihanraya kecil parlimen Pulai diadakan. Suhaizan Kayat dari AMANAH (PH) telah mencapai kemenangan di Pulai.


Jadi, moral ceritanya ialah Rafizi Ramli perlu berani mengambil cabaran dan risiko untuk kembali bertanding di Terengganu, negeri asalnya. Perlu ingat KEADILAN pernah menang di parlimen Kemaman pada PRU 1999.


Begitu juga, Nik Nazmi juga perlu berani menerima cabaran dan mengambil risiko untuk pulang ke negeri asalnya di Kelantan untuk memimpin medan perang pilihanraya di Kelantan dengan sandaran kesedaran bahawa pada tahun 1999 kerusi parlimen Kota Bahru, Ketereh dan Tanah Merah telah dimenangi oleh KEADILAN. Nik Nazmi adalah Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Kelantan.


Real politik KEADILAN luaskan pengaruh


KEADILAN kena sedar real politik. Sekarang Anwar Ibrahim jadi ketua Pakatan Harapan dan Ketua Kerajaan Perpaduan kerana sekurang-kurangnya Anwar memiliki 31 kerusi parlimen dari KEADILAN.


Jika KEADILAN tidak bersedia dengan strategi ampuh untuk memenangi PRU 16, ada kemungkinan kerusi KEADILAN akan hilang 50 % dan KEADILAN mungkin akan hanya memiliki sekitar 15 kerusi parlimen, mungkin termasuk parlimen Tambun.


Jika senario seperti itu benar-benar berlaku, ketika Anwar Ibrahim masih lagi sihat, penuh idealisme, dengan semangat tinggi serta ada perancangan dan komitmen rapi untuk dilaksanakan demi rakyat dam negara, tetapi Presiden Keadilan Rakyat itu hanya ada sekitar 15 kerusi parlimen sahaja, maka ketika itu adakah parti-parti politik lain masih sudi untuk memilih Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri bagi penggal keduanya?

Inilah yang perlu direnungkan.

________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

Σχόλια


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page