top of page

Menjelang 13 Oktober: Kekal tenang, pimpinan teruskan khidmat



Mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bersama Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi melalui aplikasi Zoom memberi semangat baharu kepada pimpinan menjelang detik 13 Oktober ini.


Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Anwar dalam pertemuan bersama Ahli MPP dan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN itu mahu pimpinan parti menasihatkan para penyokong dan rakyat Malaysia agar kekal tenang serta terus mendoakan kesihatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


"Anwar memberi penerangan mengenai situasi terkini, termasuk majlis mengadap beliau dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan.


"Anwar meminta kami menyeru rakyat Malaysia supaya kekal tenang dan terus mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan negara kita," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, menurut Saifuddin lagi, Anwar juga menekankan agar pimpinan KEADILAN sentiasa bekerja keras dalam portfolio masing-masing, sama ada di dalam atau di luar Parlimen.


Katanya, Anwar menegaskan mereka tidak boleh berfungsi hanya menyatakan pendirian parti semata-mata, tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam mengikut portfolio masing-masing.


"Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka.


"Hanya dengan mendengar rintihan rakyat kita dapat mengenal pasti cara untuk membantu negara kita pulih dan makmur. Beliau menggesa semua anggota KEADILAN untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat setempat semasa berlakunya wabak Covid-19.


"Anwar memberi penekanan khusus kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan agar bekerja keras tangani cabaran di negeri-negeri tersebut akibat wabak Covid.


"Walaupun pelbagai SOP yang berkaitan dengan kesihatan perlu dipatuhi, kita harus tetap membantu rakyat Malaysia, terutama anggota masyarakat yang paling berisiko," katanya lagi.


Untuk rekod, Anwar dijadualkan bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Selasa bagi mempersembahkan majoriti Ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau untuk mengambilalih kuasa daripada pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Tempoh 72 jam menjelang detik itu sangat penting, agar tidak berlaku provokasi dan sebarang insiden yang boleh menggugat ketenteraman awam bagi melicinkan peralihan kuasa.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page