top of page

Menjaga Imbangan Kuasa dan Mandat Diraja di Kuala Lumpur

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Sebagai seorang warga Kuala Lumpur, saya mengalu-alukan kenyataan YB Hannah Yeoh mengenai cadangan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur. Walaupun niat meningkatkan ketelusan selari dengan nilai Malaysia MADANI, cadangan beliau untuk penglibatan secara langsung dalam urusan eksekutif DBKL perlu diteliti sedalam-dalamnya.


Hal ini kerana reformasi sebenar seharusnya memperkasakan integriti institusi, bukannya mewujudkan 'kekaburan' prinsip pengasingan kuasa antara penggubal undang-undang dan pelaksana.


KL sebagai zon neutral nasional


​Kita perlu kembali kepada asas penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1974 yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negeri de facto bagi Kuala Lumpur. Di bawah mandat ini, Datuk Bandar dilantik sebagai pemegang amanah untuk menguruskan ibu negara secara neutral.


Meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 untuk memberi kuasa eksekutif kepada pihak perundangan, secara tidak langsung menghakis mandat unik YDPA yang mahukan Kuala Lumpur kekal sebagai zon neutral nasional.


​Dari sudut operasi, penglibatan secara langsung politik dalam hal ehwal pengurusan mikro dalam DBKL bermungkinan boleh melumpuhkan fungsi eksekutif dan membantutkan pembangunan. Apabila keputusan teknikal bertukar menjadi perdebatan kepentingan, ia melambatkan kelulusan serta menjejaskan keyakinan pelabur. Mungkin boleh terjadi sekiranya tercetus konflik, pemaju terpaksa menjaga hati wakil rakyat sebelum ke DBKL.


Lebih merisaukan, jika ruang perancangan bandar mungkin dicampuri, tidak mustahil kecenderungan yang sama merebak ke agensi lain. Sedangkan profesionalisme institusi keselamatan dan teknikal bergantung sepenuhnya kepada kebebasan daripada pengaruh politik dalam operasi harian.


​Daripada meminda Akta Ibu Kota, sebaik baiknya tumpuan diberikan kepada usaha mengembalikan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Mekanisme ini pernah wujud dalam sejarah kita, namun pelaksanaannya hanya boleh direalisasikan apabila landskap politik negara sudah benar-benar matang mengikut kesesuaian masa. Lagipun, perkara ini telah menjadi salah satu manifesto dalam kempen pilihanraya Sekian lamanya, oleh itu wajar juga untuk hal itu diperjuangkan meskipun ia mengambil masa yang panjang.


Perkasakan integriti teknokrat


​Struktur sedia ada sebenarnya sudah memadai. Jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bertindak sebagai jambatan dasar antara Kerajaan dan YDPA, manakala Datuk Bandar adalah nakhoda pelaksanaan teknikal.


Sebaliknya, kita manfaatkan sistem unik pengasingan kuasa untuk 'check and balance'. Menggubal undang-undang dan dasar untuk pelaksanaan yang lebih efektif, bukan turun menjadi anggota pelaksana.


Fokus kita sepatutnya adalah memperkasakan integriti teknokrat yang bertanggungjawab terus kepada undang-undang dan mandat Diraja 1974 demi kesejahteraan warga kota.


Hal ini merupakan pendapat peribadi saya. Namun, sehingga kini masih belum jelas hala tuju sebenar berdasarkan kenyataan Menteri. Pada hemat saya, kita tidak seharusnya mengubah sistem yang sudah stabil—'we shouldn't rock the boat when it is already stable'.

Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur


*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page