
Ramadan sudah pun tiba di penghujung dan hanya beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meninggalkan madrasah bulan suci itu.
Namun menjadi persoalan, mengapakah umat Islam Malaysia masih tidak berubah setelah sebulan berpuasa dan memperteguh ajaran tauhid?
Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, punca utama umat masih mengutamakan hal hal picisan berbanding isu besar yang melingkari mereka adalah kerana kedangkalan atau kegalauan ilmu
Katanya, bertambah malang apabila pihak berkuasa agama dan menteri sibuk membincangkan isu klip video tarian lelaki 'lembut' menjelang Aidilfitri berbanding isu rompakan berbilion ringgit yang jelas haram dan bersifat fasad (membinasa) dilakukan pemimpin negara.
"Kalangan orang muda tanya mengapa dalam keadaan dakwah meningkat, penjelasan meningkat tetapi kekeliruan masih menyeluruh. Misalnya mengapa soal perkauman dikaitkan dengan agama, mengapa soal kecil diperbesarkan? Mengapa persoalan besar ditenggelamkan?
"Cabaran itu cabaran ilmu. Ini kecelaruan umat kerana kedangkalan ilmu dan kegalauan atau kekacauan pemikiran. Ini pun bukan baru. Sebelumnya ada persoalan mengapa muslim mundur dan Barat maju? Jawabnya mudah kerana orang Islam tidak mengamalkan agamanya (secara penuh) atau kefahaman sangat dangkal. Orang bukan Islam ciri ciri lebih hebat, kecintaan ilmu ditekankan.
"Oleh itu agama tidak terlepas dari faham budaya sempit. Faham kabilah. Padahal faham itu ditolak oleh Islam. Tetapi kenapa sangat kuat berbekasnya?
"Sekarang institusi agama, menteri agama persoal orang menari (sempena Aidilfitri), perlu diteliti tetapi yang berbilion hilang depan dia, soal pemikiran menyimpang dari fahaman Islam, soal Islamophobia yang ganas tidak pula dikupas," katanya dalam siri tazkirah Ramadan bersama Presiden KEADILAN, petang tadi.
Dalam ceramah pendek itu, Datuk Seri Anwar juga menyentuh mengenai figh aulawiyat sebagaimana disyarahkan oleh Dr Yusof Qaradawi dalam kitab kitab karangan beliau.
Katanya, apabila umat Islam Malaysia meninggalkan yang sepatutnya diutamakan, maka mereka hanya membicarakan soal soal yang tidak begitu penting sehingga bukan Islam tidak melihat kesyumulan agama berkenaan.
"Apakah urutan keutamaan yang dikupas Sheikh Qardawi? Figh Aulawiyat, apakah pakai kupiah, atau menari hari raya? Apakah curi 10 bilion? Kita kena pilih.
"Jangan hari hari kita dengar Islam ini masalah sahaja. Kita tidak dengar Islam agama menegakkan keadilan atau ehsan. Kalau Islam dilaksanakan maka bersih dari rasuah, keangkuhan kuasa atau keangkuhan peribadi.
"Itu sepatutnya dalam bulan Ramadan kita kembangkan. Bukan (subuk) cari kedai kopi orang minum ke tidak. Barangkali orang itu dalam haid, musafir," katanya lagi.
Anwar berharap berbaki kurang seminggu Ramadan, umat Islam akan terbuka minda mereka untuk membuang sifat sifat tercela dan mengambil sikap yang lebih mencintai ilmu sebagaimana bangsa yang lebih maju dan umat Islam dalam tamadun terdahulu.