top of page

Mengapa projek dewan di Pagoh disegerakan, projek di Parlimen Merbok masih tertangguh?



Projek membina beberapa dewan dengan peruntukan RM35 juta mendapat keutamaan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Jabatan Kerja Raya terus dipersoalkan.


Apatah lagi sekiranya dibandingkan dengan projek-projek pembangunan di kawasan pembangkang yang telah diluluskan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan.


Bagi Ahli Parlimen Merbok Nor Azrina Surip @ Nurin Aina, beliau amat kecewa apabila projek berjumlah RM200 juta untuk meningkatkan insfrastruktur di kawasan berkenaan seolah-olah dibekukan sejak Perikatan Nasional mengambilalih kerajaan.


"Saya sejujurnya termangu membaca berita terkait kelulusan projek membina dewan di Pagoh menggunakan Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri. Surat dialamatkan kepada Ketua Pengarah JKR membawa arahan kesegeraan seolah-olah pembinaan ini tidak boleh ditangguhkan lagi dalam menangani kes Covid-19 yang semakin mengganas ini.


"Saya amat cemburu dan tertanya-tanya keistimewaan yang Pagoh perolehi. Apakah kerana kedudukannya sebagai PM maka segala bentuk projek pembangunan secara automatik dilihat perlu disegerakan meskipun bukan keutamaan dalam situasi tersebut.


"Selain rasa cemburu, saya juga amat kecewa dan terus tertanya-tanya apakah status projek pembangunan bernilai lebih RM200 juta di Merbok yang masih belum kelihatan. Antaranya RM69 Juta projek Off-River Storage (ORS) Sungai Merbok, pembangunan Tapak Arkeologi Sungai Batu dan projek naiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau sekitar RM145 juta," katanya.


Menurut Nurin lagi, pada Ogos 2019, sejumlah RM10 juta telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk pembangunan dan penyelidikan Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok namun telah ditarik balik ketika lawatan Menteri pada Oktober 2020.


Katanya, umum mengetahui, tapak di Merbok telah diiktiraf sebagai tamadun terawal di Asia Tenggara, lebih awal berbanding dua keajaiban dunia seperti Angkor Wat dan Borobudur.


"Bukankah menaik taraf sepenuhnya warisan sejarah yang amat mahal harganya ini suatu yang istimewa, penting dan menjadi keutamaan yang mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada rakyat di Merbok, bahkan negeri Kedah dan juga negara kita di mata dunia?


"Saya juga ingin merakamkan rasa kekecewaan yang lebih awal sebelum isu peruntukan Tapak Arkeologi Sungai Batu ditarik balik, iaitu berkenaan projek Off River Storage (ORS) Sungai Merbok, membina menara tangki dan mengganti paip air di Merbok dan Tanjung Dawai bernilai 69 juta.


"Ini pernah diluluskan oleh Kementerian Kewangan bagi membantu menangani masalah krisis air yang hampir mencecah dua dekad. Loji yang berusia lebih 70 tahun di Tupah bukan sahaja perlu dinaiktaraf namun 80% sistem perpaipan masih menggunakan Asbestos-cement (AC) paip yang akhirnya menatijahkan kekerapan paip pecah.


"Telah beberapa kali saya ulangi ketika perbahasan di Parlimen, apakah projek sebegini tidak penting, segera dan utama? Lalu peruntukan 69 juta ini tiba-tiba 'hilang' dalam perjalanan dengan pelbagai alasan yang amat mengelirukan," katanya.


Namun kekecewaan sedikit terubat, kata Nurin, dengan peruntukan kira-kira 145 juta bagi projek naiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) di Bukit Selambau.


Dijangkakan projek itu mampu menangani krisis air di Merbok. Walaupun projek ini asalnya berstatus pinjaman dari Kerajaan Persekutuan ia akan ditukarkan dalam bentuk geran agar perlaksanaan dapat disegerakan.


"Saya mengharapkan berita ini benar-benar memberikan sinar buat warga Parlimen Merbok yang telah lama bertahan berdepan krisis air. Saya sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari, berlaku pertukaran Kerajaan di tengah jalan. Namun, bila berbicara soal politik matang, soal rakyat yang menjadi keutamaan, siapapun yang mengemudi negara sewajarnya projek-projek kepentingan rakyat mesti diberi keutamaan.


"Perubahan kerajaan tidak sepatutnya merubah dasar dalam konteks menyegerakan urusan rakyat. Terdetik juga di hati saya jika mungkin Perdana Menteri boleh mengarahkan Ketua Pengarah JKR untuk menyegerakan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau bagi mengatasi masalah air secara keseluruhan di Merbok. Cuma satu harapan saya, janganlah sesekali menjanjikan atau meluluskan pemberian peruntukan sebagai umpan untuk mendapatkan sokongan kerana menggalas amanah rakyat itu perlu dilakar dan diterjemah dengan penuh keadilan," katanya lagi.


Sehbungan itu, Nurin menyeru kerajaan PN agar mempunyai keazaman politik untuk mendahulukan keperluan rakyat, bukan mendahulukan yang lain-lain, apatah lagi yang tidak tersusun dalam senarai keutamaan.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page