Mengapa perlu gantung Parlimen, adakah Covid merebak waktu persidangan?



Perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin dengan menggantung persidangan Parlimen menimbulkan tanda tanya ketika badan perundangan seperti mahkamah dan eksekutif dibenarkan bergerak seperti biasa.


Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah tidak rasional kerana akan merosakkan fungsi sistem demokrasi.


"Apakah rasional Parlimen digantung tetapi kabinet ataupun badan eksekutif boleh berfungsi seperti biasa? Ini bermakna semua menteri tidak kehilangan kuasa dan boleh menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.


"Begitu juga badan kehakiman boleh berfungsi seperti biasa. PM berkata tidak akan mencampuri urusan mahkamah tetapi darurat ini telah menghalang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bersidang.


"Darurat (kononnya) dilaksanakan untuk mengawal Covid 19 sedangkan sudah terbukti dengan melaksanakan PKP dapat mengawal penularan Covid 19 pada PKP pertama tahun lalu. Ternyata pelaksanan darurat ini tidak selari dengan keadaan semasa di mana PKP telah dilaksanakan.


"Apakah niat sebenar kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbuat demikian (gantung Parlimen)? Adakah kerana Wabak Covid-19 merebak melalui Persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri? Sudah semestinya, tidak. Apakah rasional untuk mengganggu urusan Badan Perundangan?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ketua KEADILAN Cabang Kota Raja itu lagi, Mengantung badan perundangan ketika banyak sektor ekonomi beroperasi dan seluruh kabinet berkuasa seperti biasa akan menyebabkan tidak berlaku proses semak dan imbang dalam menguruskan wang rakyat.


Hal itu, katanya akan menyebakan sesebuah kerajaan darurat menjurus ke arah pemerintahan kuku besi tanpa proses semak dan imbang.


"Kerajaan darurat pimpinan Tan Sri Muhyiddin perlu berjiwa besar dan mempunyai "political will" untuk benar-benar meletakkan kepentingan negara melebihi daripada kepentingan peribadi.


"Usah berasa takut dan bimbang bahawa kerajaan PN akan tumbang jika persidangan Parlimen diadakan pada awal bulan Mac tahun ini jika kerajaan pimpinan PM mempunyai keabsahan dan majoriti di Parlimen.


"Adakah darurat ini diumumkan semata-mata untuk ‘political survival’ Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN?" tanya beliau lagi.


Darurat yang menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dikritik hebat banyak pihak kerana anggota Dewan tidak lagi boleh bertanya perkembangan selanjutnya perancangan kerajaan atau kelemahan perlaksanaan dasar yang akan merugikan rakyat dalam jangka panjang.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio