top of page

Menang Bukan Merdeka: Yang Dijulang Bersama, Yang Dipikul Bersama

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 27
  • 3 min read

ree

Oleh: Sandy Zaliu


ULASAN: Hari ini kita diingatkan oleh satu kenyataan yang sering diulang oleh mereka yang lupa asal-usul perjuangan. Katanya, “Saya menang sebagai Ahli Parlimen, maka saya wakil rakyat, bukan wakil parti.”


Dalam sejarah perjuangan politik, kemenangan tidak pernah lahir dari kekuatan individu semata-mata. Ia adalah hasil dari suatu gabungan yang lebih besar iaitu kepercayaan rakyat, pengorbanan jentera, kesepakatan dalam prinsip, dan arah perjuangan yang jelas.


Apabila seseorang menang atas tiket sebuah parti, kemenangan itu bukan milik peribadi. Ia adalah pengiktirafan terhadap perjuangan bersama. Ia adalah hasil kesabaran akar umbi yang selama ini menyemai harapan, menggerakkan kempen, dan mengangkat aspirasi rakyat melalui wadah yang diyakini.


Yang dijulang itu bersama, yang dipikul juga bersama. Mandat rakyat bukan lesen untuk berdiri sendirian, apatah lagi membawa haluan yang jauh daripada kerangka perjuangan asal. Sebaliknya, ia adalah panggilan untuk terus berganding bahu dalam memikul amanah yang telah diberikan.


Sirah Nabi: Bila janji dimungkiri


Dalam sejarah Islam, kita diajar tentang erti kesetiaan terhadap baiah, iaitu sumpah taat setia. Dalam Perjanjian Hudaibiyah, para sahabat memberi baiah kepada Rasulullah SAW di bawah pokok, dikenali sebagai Baiah Ridwan. Ia bukan sekadar sumpah individu kepada Rasulullah, tetapi komitmen kolektif untuk kekal bersama dalam perjuangan, walaupun diuji dengan ancaman perang atau pengkhianatan.


Apa yang berlaku jika baiah itu dikhianati? Pengkhianat dianggap memecah belah saf umat. Mereka tidak lagi diberi tempat dalam barisan kepimpinan. Ini adalah pengajaran besar dalam perjuangan. Kesetiaan kepada perjuangan bukan pilihan. Ia adalah amanah.


Sejarah politik bila mandat diseleweng


Rakyat Malaysia tidak akan lupa krisis politik yang berlaku pada tahun 2020. Peristiwa Langkah Sheraton menjadi detik hitam apabila beberapa Ahli Parlimen yang menang atas tiket KEADILAN dan parti gabungan berpaling tadah. Alasan mereka tetap sama. Kononnya mereka membawa suara rakyat, bukan suara parti.


Namun rakyat melihat sendiri akibat daripada tindakan itu. Kerajaan tumbang, kestabilan hilang, pelabur lari, dan rakyat terpaksa menanggung kesengsaraan. Inilah akibat apabila mandat diseleweng demi kepentingan peribadi.


Parti bukan hotel persinggahan


Parti politik, khususnya Parti Keadilan Rakyat, bukan sekadar pentas untuk bertanding pilihanraya. Ia adalah rumah perjuangan. Kita menang bukan kerana kekuatan peribadi semata-mata tetapi kerana rakyat percaya kepada prinsip, nilai dan jentera parti.


Kita tidak boleh menjadi mereka yang hanya menggunakan parti sebagai kenderaan untuk sampai ke destinasi. Bila sudah selesa, ditinggalkan parti untuk mencari arah sendiri. Ini bukan watak pejuang. Ini perangai penumpang yang lari daripada tanggungjawab.


Belajar daripada mereka yang kecundang


Sejarah telah membuktikan bahawa mereka yang mengkhianati parti selepas menang, akhirnya ditolak oleh rakyat. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada beberapa tokoh politik yang pernah keluar parti dan bertanding semula tanpa sokongan organisasi. Ramai yang kalah dan tidak lagi relevan.


Nama-nama seperti Zulkifli Noordin dan Wee Choo Keong menjadi contoh jelas. Mereka pernah menang atas tiket parti reformasi. Tetapi bila bertanding sebagai bebas atau bersama platform baharu, kepercayaan rakyat sudah tiada. Ini membuktikan bahawa kekuatan calon tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan parti.


Suara rakyat tidak terpisah daripada akar parti


Jika seseorang itu menang atas tiket KEADILAN, maka wajar untuk diinsafi bahawa kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi. Ia adalah hasil usaha kolektif dan kepercayaan rakyat terhadap nilai perjuangan yang dibawa oleh parti.


Peranan sebagai Ahli Parlimen membawa amanah besar. Ia menuntut kebijaksanaan untuk menyeimbangkan suara rakyat dengan dasar dan prinsip yang telah dipersetujui bersama. Dalam semangat demokrasi, perbezaan pandangan itu biasa. Namun adalah penting agar semangat kerjasama dan muafakat sentiasa dipelihara.


Ada kalanya, wujud kecenderungan untuk membawa pendekatan atau pendirian yang difikirkan lebih mulia daripada keputusan atau garis panduan parti. Dalam keadaan sebegini, adalah wajar untuk menilai semula adakah tindakan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh, atau sekadar mengundang perpecahan dalam perjuangan bersama.


Sejarah telah mengajar kita bahawa kekuatan sebuah gerakan terletak pada kesatuan, kesetiaan kepada prinsip, dan kemampuan untuk bergerak dalam satu pasukan yang tersusun. KEADILAN dibina atas asas perjuangan kolektif bukan segelintir individu semata-mata.


Semoga setiap langkah dan keputusan yang diambil sentiasa berpaksikan semangat amanah, kebersamaan, dan kesedaran bahawa mandat rakyat adalah untuk dilaksanakan secara bersama, bukan secara bersendirian.


Reformasi bukan slogan. Ia amanah.


Setia pada perjuangan. Setia pada parti. Setia pada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page