top of page

"Prestasi 'tidak menentu' Pas T'ganu, golongan atas pagar makin membesar"

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • May 20
  • 2 min read
Anak muda Terengganu lebih meminati motorsikal dan meluahkan perasaan di media sosial
Anak muda Terengganu lebih meminati motorsikal dan meluahkan perasaan di media sosial

Prestasi pentadbiran negeri di bawah pimpinan Pas yang dilihat tidak menentu merupakan antara faktor utama pertambahan golongan “atas pagar” atau pengundi neutral di Terengganu, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengundi Gen Z di negeri itu.


Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan perubahan ketara apabila semakin ramai pengundi tidak lagi memberikan kesetiaan mutlak kepada mana-mana parti politik.


Menurut beliau, fenomena itu berlaku apabila persepsi kejayaan yang dibina oleh Pas dilihat semakin melangkaui realiti pencapaian sebenar pentadbiran negeri.


"Pas berjaya membina propaganda dan persepsi bahawa mereka mentadbir dengan cemerlang, tetapi apabila rakyat melihat realiti ekonomi, peluang pekerjaan dan keadaan negeri, ramai mula mempersoalkan naratif itu.


"Persepsi politik yang positif itu kadang-kadang jauh melebihi prestasi hakiki pentadbiran negeri. Generasi muda khususnya Gen Z kini lebih cenderung menilai berdasarkan pengalaman semasa dan realiti kehidupan, bukannya sentimen kepartian tradisional.


"Golongan ini juga tidak mudah memberikan kesetiaan mendalam kepada mana-mana parti politik kerana mereka lebih tertarik kepada elemen gaya hidup, trend semasa dan imej yang dianggap “cool”.


Ahmad Nadhir Yob
Ahmad Nadhir Yob

"Sebab itu fenomena seperti RXZ Members mendapat sambutan besar dalam kalangan anak muda," katanya ketika mengulas perkembangan politik semasa di Terengganu kepada Suara Keadilan.


Beliau menegaskan, kehadiran ramai anak muda dalam sesuatu program tidak boleh terus dianggap sebagai peningkatan sokongan politik.


"Gen Z ini sangat ‘fluid’. Mereka tidak semestinya hadir ke program politik kerana menyokong sesebuah parti. Mereka datang kerana suasana, budaya atau elemen yang dianggap menarik dan stylish.


"Fenomena seperti RXZ Members itu lebih bersifat sementara dan budaya sosial. Kehadiran besar tidak bermakna sokongan politik meningkat secara automatik," katanya lagi.


Beliau turut memberi contoh beberapa program dan himpunan mutakhir di Terengganu yang menurutnya tidak lagi menerima sambutan besar seperti sebelum ini, sekali gus menunjukkan perubahan sikap pengundi muda.


Menurut Ahmad Nadhir, realiti politik hari ini menunjukkan sokongan tegar kepada mana-mana parti sebenarnya kecil dan tidak melebihi sekitar 30 peratus sahaja.


"Realiti sokongan padu kepada mana-mana parti tidak lebih daripada 30 peratus. Sama ada parti kerajaan atau pembangkang, pengundi setia mereka sekitar itu sahaja.


"Yang menentukan kemenangan sebenarnya ialah golongan atas pagar," katanya.


Beliau berkata, golongan neutral di Terengganu pada masa ini dianggarkan mencecah sekitar 40 hingga 45 peratus pengundi dan lazimnya hanya membuat keputusan pada saat akhir menjelang pilihanraya.


Katanya, perkembangan itu menjadi cabaran besar kepada semua parti politik di Terengganu kerana mereka perlu mengekalkan naratif yang konsisten sehingga hari pengundian.


Dalam masa sama, beliau berpandangan kemerosotan prestasi negeri dalam aspek ekonomi dan peluang pekerjaan turut mempengaruhi peningkatan golongan atas pagar.


"Bila rakyat melihat peluang pekerjaan masih terhad, ramai anak muda terpaksa keluar bekerja di luar negeri dan pembangunan tidak bergerak seperti diharapkan, mereka mula menilai semula sokongan politik mereka.


"Golongan atas pagar kini tidak melihat kepada imej, namun kepada prestasi dan pembaharuan. Mereka tidak lagi terikat dengan kesetiaan politik tradisional," katanya.


Beliau berkata, parti-parti politik di Terengganu kini berdepan cabaran besar untuk melakukan penjenamaan semula dan menampilkan wajah lebih segar bagi menarik sokongan pengundi neutral yang semakin dominan dalam politik negeri itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page