Melayu terancam: Orang Melayu N Sembilan dibela lebih baik daripada negeri PN
- Redzuan Shamsudin

- 47 minutes ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25, Ustaz Shahir (gambar) berkata pengundi Negeri Sembilan perlu menolak politik yang memainkan sentimen kaum dan agama, sebaliknya menilai rekod pentadbiran Kerajaan Negeri yang menurutnya memberi manfaat kepada rakyat, khususnya masyarakat Melayu.
Beliau berkata, pelbagai dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri selama ini banyak memberi manfaat kepada orang Melayu dan perkara itu sepatutnya menjadi fokus dalam kempen pilihanraya.
"Majoriti yang mendapat nikmat adalah orang Melayu. Itu yang sepatutnya dihidangkan kepada rakyat Negeri Sembilan dalam pilihan raya ini," katanya dalam sidang media petang tadi.
Menurut beliau, isu-isu yang dimainkan oleh dalam kempen BN-PN tidak menggambarkan keadaan sebenar di Negeri Sembilan, lebih-lebih lagi apabila isu itu dibawa oleh pemimpin dari luar Negeri Sembilan.
"Lebih lagi yang memainkan sentimen ini orang luar Negeri Sembilan. Saya hairan orang yang meniupkan sentimen itu datang dari negeri majoriti Melayu, seolah-olah mereka duduk dalam negeri yang mereka itu terancam.
"Sedangkan dalam Negeri Sembilan tak ada pun isu orang Islam ditindas, tak ada masjid ditutup, tidak ada tempat yang jadi konflik di sini," katanya.
Beliau berkata, kebajikan rakyat termasuk dalam aspek pendidikan dan bantuan kepada anak negeri, sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
"Tak ada seorang pun anak orang Negeri Sembilan tidak mendapat pembelaan, atau hak mereka dalam pendidikan, kebajikan terabai. Mereka diberi ruang yang jauh lebih baik daripada negeri yang majoriti Melayu.
"Bandingkan anak Negeri Sembilan yang dapat insentif berbanding anak Terengganu, anak Kelantan, Kedah. Anak-anak Negeri Sembilan jauh lebih dapat pembelaan," jelasnya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa DAP merupakan ancaman kepada masyarakat di Negeri Sembilan dan berkata golongan asatizah dalam PH sentiasa mempertahankan kepentingan Islam berdasarkan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
"Bagi saya orang Negeri Sembilan, kita patutnya menolak apa benda yang mereka sebut atas pentas ceramah, kononnya DAP satu ancaman.
"Kami kalangan asatizah mempertahankan hal berkaitan Islam di Negeri Sembilan kerana kami bukan sahaja mewakili parti kami tetapi melihat pelaksanaan Islam itu secara keseluruhan dipimpin MB Aminuddin sepanjang tujuh tahun ini. Kita ada rekod pencapaian," katanya lagi.



Comments