Melayu 'terancam': Adakah Melayu di bawah PN berjaya majukan diri?
- Akmal Manaf

- 60 minutes ago
- 2 min read

Politik yang bertanggungjawab seharusnya menawarkan harapan dan penyelesaian masalah rakyat sekiranya sesebuah parti dipilih sebagai kerajaan.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar), orang Melayu pada hari ini perlu berfikir lebih matang untuk masa depan mereka berbanding menuruti naratif politik ketakutan dan ‘terancam’ yang tidak membawa kaum itu mencapai sebarang kejayaan.
Katanya, selepas tiga tahun orang Melayu dinaungi parti yang kononnya melindungi mereka daripada ancaman adakah kaum itu membangun di negeri yang ditadbir pembangkang.
"Soalan yang perlu dijawab ialah apakah solusi untuk meningkatkan pendapatan Melayu? Bagaimana mahu memastikan anak-anak Melayu mendapat pendidikan berkualiti? Bagaimana mahu memperkukuhkan pemilikan ekonomi, peluang pekerjaan, perumahan dan mobiliti sosial orang Melayu?
"Melayu tidak akan menjadi kuat hanya dengan terus diberitahu bahawa mereka sedang terancam.
"Melayu akan menjadi kuat apabila mereka mempunyai ilmu, pekerjaan yang baik, pendapatan yang bermaruah, akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mengulas lanjut, Mohammad Fitri berkata, politik masa depan perlu dinilai berdasarkan kemampuan sesebuah kerajaan menyediakan penyelesaian kepada rakyat, khususnya dalam soal pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup dan peluang ekonomi.
Beliau yang juga Ketua AMK Merbok berpendapat, kekuatan sebenar Melayu bukan terletak pada slogan atau siapa yang paling lantang bercakap tentang Melayu.
Sebaliknya, kekuatan Melayu terletak pada kemampuan melahirkan lebih ramai golongan profesional, usahawan, tenaga mahir dan kelas menengah yang kukuh.
"Sebab itu pendekatan Kerajaan MADANI yang memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pendidikan dan perlindungan sosial adalah jauh lebih penting untuk masa depan Melayu.
"Kita perlu keluar daripada politik yang hanya bertanya, ‘Siapa yang mengancam Melayu?’ dan mula bertanya, ‘Apa yang kita lakukan untuk memajukan Melayu?’
"Itulah perbezaan antara politik ketakutan dan politik penyelesaian. Melayu tidak memerlukan ketakutan untuk terus bersatu. Melayu memerlukan keyakinan, peluang dan sebuah masa depan yang lebih baik," katanya lagi.




Comments