'Melayu lemah kerana banyak pemimpinnya sakau duit'


Segelintir individu yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan dalam institusi Melayu disifatkan antara faktor yang menjejaskan kemajuan masyarakat itu.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata kini lebih RM20 bilion dimaklumkan telah digunakan bagi menyelamatkan Tabung Haji (TH).
"RM20 bilion itu wang rakyat. Wang (bangsa) Cina, India, Benggali (dan lain-lain). Jadi apabila ada orang bukan Islam cakap mengenai hal Tabung Haji, kita (tak boleh) kata tak boleh (kerana) ini hal orang Islam.
"(Hakikatnya) duit negara (daripada pelbagai kaum) telah digunakan untuk menyelamatkan institusi berkenaan.
"Mana saja institusi Melayu, mereka cari tempat untuk hentam (dan) curi duit di situ, tetapi terlibat juga orang bukan Melayu (kes-kes lain), buat jahat ini tak kira kaum," katanya ketika menyampaikan ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertajuk ‘Skandal Tabung Haji: Siapa Khianati Orang Melayu Islam?’.
Ceramah itu diadakan di Pekarangan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Menceritakan lanjut, Mohamad mengakui bahawa beliau sendiri berasa takut terhadap isu rasuah dan penyelewengan sejak menjadi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, justeru mengambil serius perkara itu termasuk dalam urusan pembekalan baja kepada petani yang bermasalah sebelum ini.
"Dalam isu baja, apabila proses sudah sampai ke peringkat akhir dan saya telah menandatangani Surat Setuju Terima (SST) serta menyerahkannya mengikut tender, kami kemudian mendapati bekalan baja mengalami kelewatan.
"Saya terus terbang (ke MADA Kedah) dengan Setiausaha Politik jumpa dengan pengurus besar (untuk tanya hal kelewatan).
"Dia kata memang lambat. (Jadi) kita beri sedikit masa kepada mereka. Bila didapati tarikh yang diberi itu pun tak dapat dibekalkan baja maka Pengerusi baru MADA tulis surat kepada saya untuk batalkan perjanjian itu (dan) saya jumpa PM Anwar (untuk maklumkan pembatalan itu).
"Saya berterima kasih kepada SPRM kerana cepat siasat. Kita tidak mahu ada tuduh menuduh. Siapa yang terlibat, kita serah kepada SPRM yang ada kuasa untuk siasat," ujar beliau lagi.




Comments