top of page

Media sosial bakal wajib eKYC, lindungi pengguna bawah umur

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15
  • 2 min read

Updated: Oct 20

Datuk Fahmi merasmikan program NADI on Wheels (NOW) peringkat Sabah di DUN Sindumin, Sipitang
Datuk Fahmi merasmikan program NADI on Wheels (NOW) peringkat Sabah di DUN Sindumin, Sipitang

Semua platform media sosial diwajibkan melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) sebaik Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dikuatkuasakan pada hujung tahun ini.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu akan memastikan hanya pengguna sah dibenarkan membuka akaun sekali gus menghalang kanak-kanak bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial.


Beliau berkata pelaksanaan eKYC yang akan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjadi antara keutamaan di bawah akta berkenaan bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti platform digital benar-benar dikuatkuasakan.


"Sewaktu bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah maklumkan bahawa Malaysia akan mewajibkan semua platform berkenaan melaksanakan pengesahan identiti pengguna.


"Ini penting bagi memastikan tiada kanak-kanak bawah umur 13 tahun memiliki akaun media sosial," katanya dipetik Bernama selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) peringkat Sabah di Dewan Undangan Negeri Sindumin, Sipitang hari ini.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin serta Ketua Pengarang BERNAMA Arul Rajoo Durar Raj.


Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat platform media sosial minggu depan bagi memperincikan pelaksanaan segera inisiatif tersebut.


Selain melindungi kanak-kanak, katanya, proses eKYC turut penting dalam membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.


"Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam. Semalam dalam Parlimen saya sebut, 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan adalah daripada Facebook," katanya.


Dalam pada itu, Fahmi berkata pelaksanaan inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) termasuk program NADI on Wheels (NOW) yang dibawa ke kawasan luar bandar akan memperluas capaian digital dan peluang pembelajaran dalam talian kepada penduduk tempatan.


Setakat ini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah, dengan kemudahan peranti Starlink berkelajuan hingga 250 megabit sesaat serta tablet bagi latihan kemahiran digital dan keusahawanan.


Fahmi turut menyentuh mengenai pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 bagi menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.


"Untuk Sabah, kabel dasar laut akan dibina dari Tanjung Aru hingga Tawau dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun," katanya sambil menambah ia akan mengurangkan kebergantungan kepada kabel sedia ada dan memperkukuh rangkaian komunikasi negeri itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page