Media main peranan besar dalam pembentukan masyarakat - Azman
- Suara Keadilan
- Dec 20, 2024
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media di negara atas dedikasi yang dipamerkan ketika bertugas.
Beliau menyuarakan penghargaan itu dalam Majlis Apresiasi Media yang diadakan di dalam kapal Cruise Tasik Putrajaya, malam tadi.
Katanya, dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh para wartawan adalah bukti keutuhan profesion tersebut.
"Dalam melaksanakan tugas, saya yakin ramai antara anda yang menghadapi pelbagai cabaran, termasuk situasi di lapangan yang sukar dan mencabar.
"Atas usaha dan komitmen ini, saya ingin menzahirkan penghargaan setulus hati kepada semua rakan-rakan media di dalam kapal ini," katanya ketika berucap di hadapan para pengamal media yang diraikan malam tadi.

Dalam era yang semakin mencabar ini, beliau berkata, media juga perlu mengambil peranan yang lebih aktif dalam membina kesedaran awam mengenai isu-isu semasa serta dasar dan polisi yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Ujarnya, sebagai individu yang berada di barisan hadapan penyampaian maklumat, media tidak hanya melaporkan berita tetapi mencorakkan persepsi awam.
"Tidak dinafikan juga bahawa, media dalam institusi yang memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat.
"Anda adalah suara rakyat dan platform kepada pelbagai golongan masyarakat untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka," katanya lagi.
Comments