MCMC siasat individu muat naik isu PM Anwar, salah guna logo Utusan
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang telah memuat naik imej suntingan menyerupai laporan portal berita tempatan bertajuk 'Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US' di platform Facebook.
MCMC berkata, imej suntingan itu menggunakan logo Utusan Malaysia dan disahkan palsu serta berpotensi mengelirukan masyarakat.
"Siasatan awal turut mendapati Utusan Malaysia telah menafikan menerbitkan laporan tersebut, malah menjelaskan ia merupakan penyalahgunaan nama dan logo akhbar tersebut.
"Susulan itu, individu terbabit telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangan telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka, hari ini.
"Pihak berkuasa turut menyita satu telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital," katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu MCMC menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutamanya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran.
MCMC berkata, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih, malah boleh mengundang tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.





