MCMC komited tingkat kualiti liputan di kawasan pelancongan
- Suara Keadilan
- Apr 28
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cakna dengan kualiti liputan di kawasan pelancongan Sepilok, Sandakan, Sabah, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah turun padang baru-baru ini bagi menguji dan menilai prestasi perkhidmatan di sana.
Unit Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan, sesi ujian itu telah dijalankan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sabah yang berada di bawah seliaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, manakala Rainforest Discovery Centre pula diseliakan Jabatan Perhutanan Sabah.
''Program ini melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.
''Hasil ujian mendapati, liputan di kawasan ini adalah memuaskan khasnya lokasi tumpuan utama pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Rainforest Discovery Centre, Sepilok.
''Namun, terdapat beberapa lokasi lain yang mempunyai liputan lemah seperti lokasi kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre,'' ujar suruhanjaya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, MCMC berkata telco yang terlibat telah diminta mengambil tindakan segera sebagai langkah persediaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Turut diadakan adalah sesi libat urus bagi mengenal pasti kerjasama antara pusat pelancongan utama di bawah kelolaan kerajaan negeri Sabah dengan Kementerian Komunikasi.
MCMC berkata, ia dalam usaha untuk menjadikan industri pelancongan berkembang pesat dengan bantuan capaian komunikasi dan Internet yang lebih baik.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
Comments