top of page

MCMC Komited laksana inisiatif digital diumum Belanjawan MADANI 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 12
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik usaha memperkukuh kesalinghubungan komunikasi dan memperluas pembangunan infrastruktur digital negara seperti diumum dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2026.


Menerusi satu kenyataan MCMC menegaskan, tumpuan kerajaan dalam memperkasa masyarakat melalui teknologi dan inovasi sejajar dengan aspirasi untuk memastikan rakyat menikmati kemajuan digital secara inklusif dan seimbang di seluruh negara.


Justeru pihaknya komited melaksanakan inisiatif strategik bagi memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang.


"MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan RM2 bilion bagi memperkukuh kedaulatan data negara. Inisiatif ini merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).


"MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan liputan 80 peratus dicapai menjelang 2026, yang akan memberikan perkhidmatan internet lebih pantas dan mampu milik kepada rakyat serta perniagaan.


"Pada masa sama, Kempen Internet Selamat akan diperluas bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan internet beretika di semua lapisan masyarakat," kata suruhanjaya itu menerusi satu kenyataan.


Antara intipati Belanjawan 2026 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu ialah pelaksanan sambungan Kabel Dasar Laut Madani (SALAM) sepanjang 3,190 km dari Johor ke Sabah danSarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan dan capaian Internet negara.


Selain itu, JENDELA 2 menerima RM780 juta untuk menyediakan jalur lebar di 2,700 lokasi baharu, manakala RM650 juta diperuntukkan bagi meningkatkan ketersambungan internet di hospital dan klinik kesihatan.


Kerajaan turut menyalurkan RM350 juta bagi memperkasa 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab latihan dan keusahawanan desa serta RM210 juta untuk Sistem Amaran Awal (EWS) bagi kesiapsiagaan bencana.


"Secara keseluruhan inisiatif yang diumumkan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi serta memastikan manfaat pembangunan digital dikongsi secara adil di seluruh negara," tambah MCMC dalam kenyataan sama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page