Kira-kira 10 individu telah dikesan sebagai penyebar mesej palsu kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Jan depan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, susulan itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menyerahkan maklumat mengenai kesemua mereka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan susulan.
"MCMC dah kenal pasti lapan hingga 10 penyebar dan kita akan serah kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Laporan polis juga telah dibuat berkenaan sebaran fitnah itu," katanya pada satu sidang media di Putrajaya semalam.
Sebelum ini wujud hantaran tular di media sosial yang cuba mengelirukan orang ramai dengan dakwaan "subsidi diesel dihapuskan bagi kenderaan diesel bermula 1 Januari 2024".
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa tampil menafikan dakwaan tersebut.
Melalui satu kenyataan, KPDN menegaskan kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem "fleet card" dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi tangki gelongsor, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari 2024.
Projek rintis berkenaan tegas KPDN sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.
Sementara itu Fahmi dalam sidang media itu mengesa kerjasama orang ramai untuk membendung penyebaran berita palsu.
Orang ramai jelasnya boleh melaporkan sebarang mesej dan kandungan palsu yang dipaparkan media sosial di talian 016-2206262 untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Comments