MCMC, Kementerian Pendidikan boleh kerjasama didik pelaksanaan eKYC
- Suara Keadilan
- 55 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pelaksanaan sistem pengesahan identiti elektronik (e-KYC) dalam urusan pendaftaran dan akses media sosial disarankan diperluaskan dengan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pendidikan.
Timbalan Pengerusi TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata kerjasama itu bagi memastikan pendidikan, kefahaman dan kesedaran awam dilakukan secara terancang, terutama melibatkan pelajar bawah umur.
Menurut beliau, sistem itu berupaya menyimpan data dan merekod pengguna sekali gus memberi ruang pemantauan lebih jelas terhadap aktiviti digital.
"Ia satu sistem yang baik kerana ia menyimpan data mereka yang dikenal pasti, membolehkan kita memantau penggunaan media sosial dan mencegah ketirisan seperti buli, scam dan gangguan seksual.
"Kalau di rumah, Astro boleh ‘lock’ program apa yang sesuai atau tidak. Konsep yang sama boleh digunakan dalam pelaksanaan e-KYC ini.

"Sistem kawalan seperti e-KYC bukan sesuatu yang baharu dalam dunia teknologi, kerana mekanisme sekatan tontonan dan log masuk juga telah wujud seperti ‘parental lock’ pada platform penyiaran berbayar," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Khuzzan, dasar mengehadkan akses media sosial kepada mereka berumur 16 tahun ke atas bukanlah bentuk kekangan, sebaliknya langkah keselamatan dan pendidikan digital kepada keluarga di Malaysia.
Ujarnya, sistem e-KYC yang dicadangkan kerajaan merupakan langkah ke hadapan dalam melindungi remaja bawah 16 tahun daripada keseluruhan risiko berkaitan media sosial, termasuk isu buli siber, penipuan dalam talian dan gangguan seksual.
Beliau menegaskan, walaupun negara lain meletakkan umur matang pada tahap lebih rendah, namun situasi dan konteks sosial Malaysia memerlukan pemantauan lebih tegas.
"Di Eropah ada negara anggap 16 tahun matang, tetapi di Malaysia, usia itu masih belum benar-benar memahami keperluan menggunakan media sosial dengan baik
"Pendekatan bersepadu antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu diwujudkan secara formal.
"Ini bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Maklumat perlu disampaikan di sekolah dengan kerjasama PIBG supaya keluarga juga memahami perubahan dasar ini," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan yang disokong langkah pendidikan akan memudahkan ibu bapa memantau tindakan anak serta menetapkan garis panduan penggunaan media sosial dalam waktu yang sesuai.
Sistem e-KYC tegasnya, akan menjadi pelindung dan bukan sekatan apabila setiap keluarga memahami fungsi teknikal dan manfaat keselamatan yang dibawanya.
"Kalau sistem ini dapat mengelakkan apa yang berlaku sekarang, buli siber, amang seksual dan penipuan, ia adalah satu langkah yang sangat baik untuk masa depan keluarga besar Malaysia," katanya lagi.





