MCMC gerakkan PRIME, NADI, sokong pemulihan komunikasi di Sabah
- Suara Keadilan

- Sep 17
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha memastikan mangsa banjir di Sabah kekal terhubung menerusi penyediaan kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME serta perkhidmatan Internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Menurut kenyataan MCMC, kenderaan mudah alih MCMC PRIME yang dilengkapi sokongan komunikasi telah digerakkan ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat selain menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
"Pada masa yang sama, sebanyak 131 NADI turut diaktifkan untuk menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan, agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa," kata MCMC.
Setakat ini, sejumlah 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik. Daripada jumlah tersebut, lebih separuh iaitu 147 menara telah kembali beroperasi, dengan kerja-kerja pemulihan giat dijalankan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

Bagi memastikan penyelarasan lebih berkesan, MCMC juga telah menubuhkan Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB untuk memantau keadaan di tapak-tapak terkesan.
"Mesyuarat berkala ini memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting, di samping memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset, agar proses pemulihan komunikasi dapat dipercepatkan," jelas MCMC.
MCMC menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi, serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.









Comments