MCMC beri amaran keras: sebar kandungan jelik hasil AI satu kesalahan
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran keras kepada pengguna serta pengendali platform digital agar tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam kenyataan pada Sabtu, Suruhanjaya itu menegaskan penyalahgunaan AI bagi menghasilkan atau menyebarkan kandungan lucah, jelik melampau dan memudaratkan, khususnya melibatkan wanita serta kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
"Penyalahgunaan AI bagi menghasilkan kandungan memudaratkan adalah suatu kesalahan dan tidak akan dikompromi.
"Siasatan akan dimulakan terhadap pengguna platform X yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan teknologi AI sehingga melanggar peruntukan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut menegaskan, selaras penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), semua platform digital diwajibkan mengambil langkah proaktif mencegah penyebaran kandungan berbahaya termasuk bahan tidak senonoh dan penderaan seksual kanak-kanak.
Suruhajaya itu menegaskan, walaupun platform X bukan penyedia perkhidmatan berlesen di Malaysia, namun tertakluk kepada piawaian keselamatan dalam talian tempatan dan bertanggungjawab melindungi pengguna.
"MCMC sedang menyiasat kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform X dan akan memanggil wakil platform berkenaan bagi mendapatkan penjelasan," katanya.





