Menteri Besar Selangor mengucapkan takziah ke atas kematian berbelas mangsa akibat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor.
Beliau berasa terkejut dengan kejadian yang menimpa di kawasan Father’s Organic Farm di Kampung Kuantan, Hulu Selangor tersebut.
"Sehingga jam 12:00 tengah hari (semalam), didapati bahawa 94 orang mangsa berada di kawasan tersebut dan 60 orang yang melibatkan 46 pengunjung serta 14 pekerja telah berjaya diselamatkan.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga 12 mangsa yang telah meninggal dunia akibat tragedi ini; 3 kanak-kanak, 7 wanita, dan 2 lelaki," katanya.
Sementara itu berdasarkan laporan media sekitar 20 mangsa lagi masih berusaha dikesan dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat diteruskan yang melibatkan 446 anggota yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor serta dibantu dari segi peralatan dan anggota daripada semua agensi kerajaan.
"Agensi kerajaan telah turun ke lokasi kejadian pagi tadi bagi mengkoordinasikan segala bantuan yang diperlukan dari pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui penyelarasan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan agensi-agensi berkaitan agar mangsa yang belum dikesan dapat dicari sesegera mungkin.
"Saya akan turun ke lokasi kejadian malam ini bersama YAB Perdana Menteri dan mohon doa daripada seluruh rakyat agar pasukan mencari dan menyelamat dilindungi Allah SWT supaya setiap mangsa yang belum dikesan dapat diselamatkan," katanya.
Comentarios