Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini turun ke beberapa DUN di Melaka untuk memberi sokongan kepada jentera kempen Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri
Lokasi pertama yang dikunjungi MB adalah bilik gerakan DUN Rembia dan mendapatkan taklimat mengenai jentera kempen di sana yang antaranya didatangkan dari Selangor.
"Bersama calon Pakatan Harapan DUN N.06 Rembia, saudara @zamripakiri75 di Bilik Gerakan PH.
"Semangat berkobar-kobar di kalangan jentera. Semoga saudara Zamri dan PH berjaya memperoleh kemenangan di Rembia," katanya dalam catatan di Facebook.
Kemudian MB menunaikan solat Jumaat di Masjid Luqmanul Hakim ataupun lebih dikenali sebagai Masjid Sungai Petai di Alor Gajah. Amirudin sempat bertanya khabar dengan warga setempat
Oleh kerana Prosedur Operasi Piawai (SOP) kempen yang ketat, jentera kempen hanya boleh mendekati pengundi di majlis-majlis kenduri.
Salah satu yang dihadiri Amirudin adalah di kediaman En Roni di Kampung Kemuning, DUN Machap Jaya.
Pada sebelah petang pula MB menghadiri program santai di warung Pak Berahim bersama calon DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron.
Program itu turut dihadiri Naib Presiden KEADILAN kelahiran Melaka, Tian Chua.
"Menjamu selera di Warung Pak Berahim sambil disertai saudara Tian Chua dan calon Pakatan Harapan DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron. Warung ini cukup popular di kalangan warga tempatan," catatnya.
Pada sebelah malam MB dijadualkan menghadiri majlis Santai di Kampung Kelubi dan Santai Malam Kampung Sebatu dalam DUN Rim.
Comments