top of page

MB Selangor sasar tingkatkan jumlah suntikan vaksin, wujudkan unit vaksinasi bergerak

Updated: Jun 16, 2021


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyasarkan untuk meningkatkan bilangan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok di negeri yang diterajuinya.


Beliau berkata mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Peringkat Negeri Selangor bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin telah mencapai persetujuan terhadap beberapa perkara.


"CITF Persekutuan dan CITF Negeri bersetuju untuk terus menumpukan usaha vaksinasi buat golongan rentan seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan komorbid tanpa mengetepikan kepentingan warga lain.


"Untuk makluman, pelaksanaan PICK Negeri Selangor Fasa 2 untuk warga emas telah pun mencapai 88% daripada keseluruhan warga emas yang berdaftar.


"Memandangkan masih ada warga yang belum berdaftar, usaha-usaha

jangkau luar (outreach) oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sedang giat dilaksanakan," katanya.


Selain itu, katanya, usaha vaksinasi turut tidak mengabaikan para petugas di sektor industri dan perkilangan memandangkan peningkatan kes serta kluster yang konsisten di tempat kerja di Selangor, yang turut dapat diperhatikan di Negeri Sembilan dan Johor.


"Oleh itu, CITF Persekutuan turut mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui Selangor COVID-19 Vaccination Programme (SCVP) sebagai pelengkap kepada PICK.


"Di bawah Fasa 4 PICK iaitu fasa Kawalan Wabak, adalah penting untuk kita memastikan perlindungan buat para pekerja di sektor industri agar perjalanan ekonomi negara tidak tergendala.


"Ini juga bagi memastikan para petugas dalam sektor industri dapat meneruskan pekerjaan serta menyara kehidupan mereka dan keluarga.


"Dengan itu, kedua-dua pihak iaitu CITF Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah menyatakan komitmen untuk bersama-sama mempermudah dan menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini," katanya.


Pada masa sama, Amirudin dan Khairy turut bersetuju untuk memperkemas dan menambah tenaga kerja serta sukarelawan bagi memastikan kelancaran pengoperasian PPV yang akan dibuka nanti dengan kerjasama Selgate Healthcare Sdn. Bhd. dan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.


Ini termasuklah unit PPV bergerak (mobile unit) bagi membantu mempercepatkan proses imunisasi.


"Ini adalah bagi memenuhi sasaran untuk Selangor mencapai sebanyak 135,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai, seterusnya meningkat kepada 165,000 imunisasi sehari menjelang Ogos.


"Bersama-sama dengan program PICK Fasa 4 atau juga disebut sebagai Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kerjasama ini merupakan suatu bukti tuntas kesepaduan usaha antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


"Semoga usaha-usaha ini akan mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok dan mengeluarkan kita daripada gelombang wabak Covid-19," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page