MB Selangor iringi Agong rasmi Hari Landskap Negara 2024
- Suara Keadilan
- May 25, 2024
- 1 min read

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2024 (HLN2024) yang berlangsung di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam.
Menurut Amirudin, Hari Landskap Negara merupakan acara tahunan yang disambut sejak tahun 1998 bagi meningkatkan kualiti landskap negara dan menyokong industri nurseri tanaman hiasan di Malaysia.
"Tahun ini mengangkat tema sambutan “Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI” dengan jelas menyatakan kepentingan dan potensi industri landskap meliputi sub-sektor pembinaan khususnya perkhidmatan landskap, pembuatan, pengeluaran bahan tanaman dan peruncitan produk landskap bagi tujuan perdagangan pasaran domestik dan eksport sebagai salah satu sumber janaan ekonomi negara.
"InshaAllah sambutan HLN2024 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini sehingga 2 Jun 2024 bakal memberi peluang kepada penggiat industri untuk mempamer dan berinteraksi dengan lebih ramai pemegang taruh di dalam industri ini serta meluaskan jaringan perniagaan dan hubungan antara penggiat industri dan masyarakat," katanya.
Amirudin juga teruja kerana Selangor menjadi tuan rumah pada kali ini yang bakal meningkatkan permintaan terhadap industri landskap serta menambahkan peluang perniagaan kecil dan sederhana.
Comments