Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador meminta Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menilai semula hasrat untuk memasuki fasa kedua PKP 3.0.
Malah, beliau berkata jangkaan bahawa Perak mampu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih cepat menerusi peningkatan kadar suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu juga harus dilakukan secara cermat.
Ini kerana, katanya, purata tujuh hari untuk Perak mesti berada di bawah 307 kes untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
“Namun saya berharap kerajaan negeri terus menggiatkan usaha membantu rakyat dan tidak meremehkan kerjasama komuniti yang digiatkan melalui kibaran bendera putih.
“Langkah sebegini harus menjadikan wakil-wakil rakyat lebih proaktif agar saluran bantuan dapat dihulurkan ke kawasan mereka secepat mungkin,” katanya.
Pada masa sama, Farhash juga berharap Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan bersidang pada 25 Ogos depan mampu membantu memulihkan negeri itu.
“Saya berharap langkah untuk membantu permasalahan rakyat dan pelan pemulihan ekonomi dapat diperincikan semula.
“Saya mendoakan agar rakyat negeri Perak terus tabah menghadapi ujian ini dan semua ahli politik kerajaan mahupun pembangkang harus lebih peka serta sensitif dalam amalan kehidupan harian mereka supaya dapat diteladani dan bukannya dicela,” katanya.
Comments