top of page

MB 'dipaksa': Kerajaan N Sembilan wajib dedah hal sebenar - AMK NS

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
8 hours ago
1 min read

Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ‘dipaksa’ menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencetuskan gesaan supaya Kerajaan Negeri tampil memberi penjelasan bagi memastikan kredibiliti dan kewibawaan pentadbiran tidak dipersoalkan.


Timbalan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Raihan Md Idris berkata, Kerajaan Negeri perlu membuktikan pentadbiran tidak dipengaruhi sebarang bentuk tekanan politik di belakang tabir yang boleh merugikan rakyat susulan isu yang sedang berlaku.


"Mesej apa yang cuba disampaikan kepada pelabur luar dan rakyat? Jika dalam hal-hal dasar dan kepimpinan pentadbiran pun seorang MB boleh 'dipaksa'.


"Bagaimana rakyat boleh yakin bahawa keputusan berkaitan penganugerahan projek, kelulusan pelaburan, mahupun pengagihan sumber negeri dibuat secara bebas, telus, dan tanpa tekanan pihak tertentu?" soal beliau ketika dihubungi.


Mengulas lanjut polemik yang sedang melanda negeri beradat pepatih itu, Raihan menegaskan sudah tiba masanya Ismail tampil berterus terang menjelaskan perkara sebenar, termasuk memperincikan kronologi berhubung isu tandatangan terbabit.


"Atau Ismail sebenarnya nak jaga air muka Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 sampai sanggup melanggar Tuanku Mukhriz yang telah mengabsahkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar?


"Sebaiknya (Umno perlu) tunaikan janji (yang dilaungkan ketika) Pilihan Raya Negeri ke-16 lalu iaitu selesaikan kemelut adat.


"Bukan menjadi 'kaduk naik junjung' sanggup menderhaka kepada Tuanku Muhriz," ujarnya lagi.


Sebelum ini, media melaporkan Ismail mendakwa tandatangannya pada dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Tuanku Muhriz yang tular sebelum ini, dibuat tanpa kerelaan dan berada di bawah keadaan paksaan.


Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang kelmarin bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page