
Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor dinasihatkan bercakap berdasarkan fakta sekiranya ingin mengkritik lawan politik.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Sanusi tidak wajar melabelkan MB Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebagai 'tidak pandai memerintah' sekiranya melihat prestasi sepanjang beliau menerajui negeri.
Apatah lagi, katanya, ketika Amirudin mengambil alih pentadbiran Selangor pencapaian MB sebelumnya, Azmin Ali tidak memuaskan dengan kemerosotan pertumbuhan ekonomi negeri, kemerosotan rizab dan jumlah pelaburan.
Amirudin, kata Menteri Komunikasi dan Digital itu telah memulihkan Selangor sepanjang empat tahun lalu.
"Kalau ini lah hasil Amirudin yg - ikut sembang Sanusi - “tak pandai memerintah”, cuba bayangkan pencapaian ke depan dgn pengalaman sejak 2018," katanya di Twitter dengan menyertakan carta rizab dan pertumbuhan ekonomi Selangor.

Semalam, Sanusi berkata Amirudin hanya 'cuci tangan' dalam pentadbiran Selangor kerana negeri itu telah pun maju sejak berdekad sebelumnya.
Amirudin dalam ceramahnya baru baru ini membidas Sanusi sebagai 'tidak melihat keluar cermin kereta' dalam perjalanan dari Kedah ke Selangor kerana beliau pasti menempuh negeri Pulau Pinang yang maju dalam perjalanannya ke selatan.
Namun katanya, Kedah tetap tidak berjaya dimajukan oleh Sanusi dan kerajaan PN dengan menumpang 'tuah' Pulau Pinang itu.