MB Amirudin: Pendekatan kebersamaan kunci reformasi pendidikan
- Suara Keadilan

- Oct 23, 2025
- 1 min read

Pendidikan perlu digerakkan secara menyeluruh dengan tanggungjawab bersama antara kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat, tegas Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (gambar).
Beliau berkata, semangat kebersamaan yang diamalkan ketika pandemik Covid-19 wajar dijadikan teladan dalam menghadapi cabaran sistem pendidikan hari ini.
Masa pandemik muncul pendekatan 'the whole society approach' iaitu macam mana masyarakat kita bertindak untuk menyelesaikan masalah.
"Sekarang di depan mata, kita lihat bertimpa-timpa (kes membabitkan pelajar sekolah). Lagi sekali orang sebut sekolah, sekolah, sekolah. Sama seperti ketika pandemik, orang sebut hospital, hospital, hospital.
"Kalau paradigma itu berjaya diubah, reformasi pendidikan akan mencapai kejayaan atau hasil yang penting. Ini satu pengajaran penting yang kadang-kadang kita lupa ketika menghadapi pandemik Covid-19 dulu," katanya dipetik pada Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini : "Punya Arah atau Hilang Arah?"
Forum yang julung kalinya dianjurkan Kerajaan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam pada Rabu itu bagi membincangkan masalah berlaku dalam sistem pendidikan hari ini
Ia disertai Adun Batu Tiga Danial Al-Rashid dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan Aminuddin Awang. Turut sama Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia Senator Dr Jufitri Joha dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Dato Dr Md Amin Md Taff.
Sementara itu menurut Amirudin, kejayaan reformasi pendidikan bergantung kepada kesediaan semua pihak memainkan peranan, bukan hanya memikul tanggungjawab di bahu sekolah.
"Apabila ibu bapa sibuk dengan urusan harian dan pemimpin dengan tanggungjawab masing-masing, kita sering lupa bahawa membentuk generasi berilmu dan berakhlak ialah tugas bersama," ujarnya.




Comments