MB Amirudin lancar SAP di Paris, perkukuh agenda aeroangkasa negara
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 2 min read

Kerajaan Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Incorporated) atau MBI dan Pusat Kecemerlangan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO) terus memperkukuh komitmen dalam pembangunan strategi industri aeroangkasa negara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu memfokuskan usaha membangunkan Selangor Aero Park (SAP) @ KLIA Aeropolis, Sepang sebagai hab pembangunan kemahiran masa hadapan, integrasi industri-akademik serta pemadanan keperluan tenaga kerja dan permintaan industri tersebut.
"Visi kami untuk SAP jelas – kita bukan hanya mahu membina infrastruktur bertaraf dunia, tetapi juga melabur dalam generasi muda yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan masa depan.
"Dari cadangan penubuhan Aerospace Talent Centre hingga kerjasama nasional melalui MyAERO, inisiatif ini merupakan bukti langkah berani menjadikan Selangor sebagai ibu kota aeroangkasa serantau," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amirudin sedang mengetuai delegasi pelaburan Selangor ke International Paris Air Show (IPAS) 2025 di Perancis dan membuat pelancaran antarabangsa Selangor Aero Park.
Sebanyak 11 syarikat Malaysia menyertai pameran itu termasuk lima syarikat dari Selangor.
Selain mempromosikan SAP di peringkat antarabangsa, Amirudin turut menyertai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bertemu pihak pengurusan tertinggi Dassault Aviation bagi membincangkan minat syarikat itu mengembangkan operasi Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) mereka ke Selangor.
"Kami mengalu-alukan kerjasama strategik bersama peneraju global seperti Dassault untuk memacu kecemerlangan industri aeroangkasa serantau. Selangor sedia menjadi rakan pelaburan jangka panjang," ujar Amirudin.
Selangor Aero Park, berkeluasan 243 hektar, sedang dibangunkan melalui usaha sama antara MBI Selangor dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Fasa pertama seluas 81 hektar telah dibuka kepada pelabur, manakala baki kawasan akan dibangunkan secara progresif selepas 2028 berdasarkan kesediaan infrastruktur dan permintaan pelaburan.
SAP dijangka memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab utama ASEAN dalam kargo udara, MRO, serta pembuatan dan teknologi aeroangkasa berteknologi tinggi, selaras dengan dasar perindustrian negara dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030.
Comments