
Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) seluruh Sabah yang berakhir semalam dan telah meluluskan beberapa usul penting.
Menurut Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Simsudin Sidek, walaupun Cabang Pensiangan terpaksa menangguhkan mesyuarat ke tarikh 1 Mei berikutan isu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun MATC untuk 25 Cabang berjalan lancar.
Katanya, usul tegas telah diluluskan dalam MATC kali iaitu menolak kerjasama dengan bekas Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad dan parti Warisan. Selain usul mengangkat Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM ke 9, penerimaan Permuafakatan Deklarasi Port Dickson, Undi 18, penamatan darurat dan pengurusan pandemik Covid 19.
"Apa yang menarik ialah usul penolakan terhadap kerjasama dengan Tun Mahathir dan parti Warisan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
"Daripada maklumat, para perwakilan Cabang mengemukakan usul menolak Tun Mahathir kerana percaya beliau (mensabotaj Pakatan Harapan) meletakkan jawatan tanpa menyerahkannya kepada penggantinya, Timbalan PM masa itu. Hal itu menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.
"Sementara penolakan terhadap Warisan berikutan kenyataan media oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie beberapa minggu lepas yang viral dengan isu 'minus-PH'. Usul penolakan ini dilihat agak tegas dan berani di saat bakal menghadapi PRU 15.
"Usul mengangkat Anwar sebagai bakal PM yang menjadi asas kepada deklarasi permuafakatan Port Dickson menjadi tumpuan perwakilan di MATC hampir semua Cabang. Terdapat juga usul-usul yang mendesak agar kerajaan segera menamatkan darurat kerana dilihat gagal menangani penularan Covid, selain menyebabkan kelembapan ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Simsudin juga bangga dengan pengurusan mesyuarat dalam norma baharu yang berjalan lancar.
Katanya, terdapat mesyuarat dilaksanakan menggunakan kaedah atas talian di samping pematuhan SOP sepenuhnya pada mesyuarat dengan kehadiran fizikal.
"MATC kali ini mempaparkan satu bentuk pengurusan mesyuarat yang baru dengan kaedah online google meet, di samping pematuhan SOP sepenuhnya.
"Terutama di kawasan Cabang mengalami penularan Covid yang teruk seperti Lahad Datu, Keningau, Tawau, malah Cabang Labuan sendiri bermesyuarat dengan kaedah maya. Ini adalah perkembangan yang baik dan pendedahan peringkat permulaan yang akan menjadikan pengurusan Cabang-cabang lebih inovatif sesuai dengan perkembangan sistem komunikas dan digital semasa," katanya.
Simsudin berkata, secara keseluruhannya MATC kali ini memperlihatkan kesungguhan dan ketegasan semua Cabang dan kepimpinan menghadapi pelbagai isu luar dan dalam demi masa hadapan parti yang menjadi harapan rakyat terbanyak.
Ketegasan itu, katanya sudah tentu menjadi asas kepada usaha mendokong kepimpinan atasan di Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
"Adalah diharapkan segala usul-usul akan diambil perhatian oleh pihak pimpinan atasan, kerana ianya adalah cetusan kehendak dari grassroot dan para pendokong parti di peringkat bawahan yang berhadapan dengan isu sebenar parti. Tahniah dapat bersidang dan bertemu lagi di Kongres Nasional Tahunan, Julai hadapan," katanya lagi.