Masjid Warisan TRX diteruskan, masjid sebagai pusat keharmonian - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Projek pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur akan diteruskan seperti dirancang walaupun menerima bantahan daripada beberapa pihak yang mendakwa pembinaannya boleh menimbulkan isu sensitiviti dan ketidakharmonian masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata keputusan meneruskan projek berkenaan dibuat kerana terdapat keperluan terhadap kemudahan ibadah bagi umat Islam di kawasan tersebut selain memperkukuh fungsi masjid sebagai institusi masyarakat.
Beliau berkata, kewujudan masjid itu bukan hanya untuk menampung keperluan solat Jumaat sebaliknya menjadi pusat penyatuan dan keharmonian dalam komuniti.
"Kerajaan (MADANI) Insya-Allah akan buat masjid di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX). Walaupun ada (pihak) yang menentang, tetapi kita sudah berikan pencerahan dan penjelasan, selain adanya libat urus secara berhikmah.
"Jika semua pihak dapat memahami perkara ini, mereka akan menyokong," katanya dipetik selepas menghadiri Himpunan Asatizah Muda Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Dewan Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR), Seremban.
Menurut Zulkifli, kawasan Bukit Bintang yang menjadi antara pusat komersial dan pelancongan utama Kuala Lumpur masih tidak mempunyai sebuah masjid bagi kemudahan penduduk, pekerja serta pengunjung Islam di kawasan itu.
"Tidak ada masjid di kawasan Bukit Bintang walaupun kewujudannya sudah puluhan tahun," katanya.
Zulkifli berkata, projek Masjid Warisan yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan dilaksanakan mengikut perancangan, manakala mana-mana pihak yang mempunyai kebimbangan boleh mendapatkan penjelasan daripada MAIWP.
Sebelum ini, laporan media menyebut Masjid Warisan dirancang dibangunkan di atas tapak kira-kira 5.6 ekar berhampiran TRX dan bakal menjadi salah satu mercu tanda baharu Kuala Lumpur. Projek itu turut melibatkan kerjasama MAIWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi berkaitan.
Isu pembinaan Masjid Warisan menjadi perhatian selepas veteran DAP dan bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim dilaporkan membantah cadangan tersebut dengan alasan ia berpotensi mencetuskan ketidakharmonian serta rasa tidak puas hati kerana lokasi berkenaan merupakan kawasan komersial dan hiburan.
Beliau turut mempersoalkan kemungkinan berlakunya pertembungan antara aktiviti komersial di kawasan TRX dengan kewujudan masjid pada masa depan.
Bagaimanapun, kenyataan itu mendapat reaksi daripada beberapa pihak yang menyifatkan kebimbangan tersebut tidak berasas serta menegaskan kewujudan masjid tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada pembangunan bandar atau keharmonian masyarakat majmuk.
Zulkifli sebelum ini turut menjelaskan pembangunan masjid di kawasan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menyediakan kemudahan ibadah di lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat.
Selain Masjid Warisan, sebuah lagi kemudahan masjid di kawasan Bukit Bintang turut dirancang melalui penggunaan bangunan bekas Yayasan Selangor yang diwakafkan untuk tujuan ibadah dan mampu menampung lebih 1,500 jemaah.




Comments