top of page

MASAC saran beri pengampunan penuh bekas pengguna dadah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Apr 11, 2023
1 min read


Kerajaan disaran mewujudkan Lembaga Pengampunan Khas bagi bekas-bekas pengguna dadah sebagai peluang kedua.


Cadangan itu dinyatakan Setiausaha Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi melalui satu kenyataan.


Menurut Raja Azizan, pihaknya berharap pengampunan penuh automatik dan pembersihan rekod kesalahan diberikan kepada bekas penagih yang menjalani hukuman dan pemulihan serta telah dijamin bersih dalam tempoh lima tahun.


"Negara kita mempunyai jumlah bekas pengguna bahan terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.


"Mereka yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, ramai yang sudah insaf apabila dihukum dan mempunyai sokongan rakan pemulihan agar mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.


"Mereka ini berdepan kesukaran mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau denda," katanya.


Beliau turut menegaskan, melalui pengampunan itu, bekas pengguna dadah akan dapat mencari rezeki untuk keluarga dengan lebih selesa tanpa didiskriminasi oleh majikan.


"Pengguna dadah yang pernah dihukum kerana mengambil dadah terus punah kehidupan mereka dari sudut kerjaya kerana tersilap langkah berkait dadah, sedangkan mereka ini juga mempunyai potensi luas memasuki pasaran kerja negara dan membangunkan ekonomi.


"Sehubungan itu MASAC ingin memohon jasa baik Perdana Menteri untuk jadikan satu Arahan Pentadbiran Perdana Menteri agar kesemua bekas pengguna dadah yang telah menjalani hukuman selepas 5 tahun akibat dadah termasuk memiliki dadah untuk kegunaan sendiri, dijadikan sebagai automatik boleh diberi pengampunan penuh dan data mereka bebas daripada rekod pernah dihukum," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page