top of page

MAPIM umum penubuhan gabungan media pertahankan Al-Quds, Palestin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Azuan Ab Rahman


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) secara rasmi menubuhkan Gabungan Media Untuk Mempertahankan Al-Quds dan Palestin-Malaysia.


Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, gabungan itu sebagai inisiatif nasional bagi menyatukan peranan media dalam membela kebenaran dan keadilan sekaligus memastikan naratif Palestin dilaporkan secara tepat, bermaruah dan berlandaskan moral, bebas daripada intimidasi, penapisan atau penyelewengan.


"Gabungan ini ditubuhkan pada waktu kritikal berikutan genosid di Gaza, pendudukan berterusan Palestin dan pencabulan sistematik di Al-Quds yang semakin dinormalisasi melalui laporan berat sebelah dan tekanan politik terhadap media.


"Ia bakal menjadi platform kolektif untuk pengamal media yang komited kepada kewartawanan beretika dan kebenaran kemanusiaan, termasuk wartawan, editor, penyiar, pengamal media digital, ahli akademik, pencipta kandungan serta organisasi media bebas," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika bengkel ‘Menangani Naratif Genosid Gaza dan Palestin oleh Media Barat-Israel: Peranan Media Malaysia’ di Kompleks Karangkraf di Shah Alam pada Ahad.


Bengkel turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abushamala; Profesor Khas Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Mohd Adnan Hashim; Ketua Biro Al Jazeera Malaysia, Sameer Allawi serta wakil media tempatan.


Mohd Azmi sementara itu berkata, Gaza hari ini bukan hanya medan peperangan senjata, tetapi juga medan peperangan naratif.


Justeru terdapat keperluan mustahak untuk menekankan penggunaan bahasa dan terminologi yang menepati naratif memihak Palestin, berbanding menggunakan istilah yang selama ini dimainkan oleh media Barat-Israel sehinggakan diterima bulat-bulat oleh masyarakat.


"Disinformasi telah menjadi senjata strategik. Ia digunakan untuk mengelirukan, membenarkan dan melumpuhkan kesedaran dunia. Maka dalam keadaan ini, tanggungjawab media bukan sekadar melapor, tetapi juga mempertahankan kebenaran sebagai amanah moral," tegasnya.


Sehubungan itu jelasnya, gabungan tersebut akan mengumumkan dalam masa terdekat penubuhan jawatankuasa penyelaras interim, kerangka keahlian dan kod etika, pelan tindakan serta kempen media, selain program latihan dan kerjasama strategik di peringkat serantau serta antarabangsa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page