Manusia Akan Lakukan 6 Perkara Ini, Gunakan Fikiran Sihat
- Suara Keadilan
- 22 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Dalam kajian, firasat dan pengalaman saya, kebanyakan manusia akan melakukan apa sahaja disebabkan 6 perkara berikut:
1. Terdesak - orang yang terdesak akan berbohong, berkasar, mencuri, menjerit, meroyan, mensabotaj, melakukan propaganda, memfitnah dan akhirnya membunuh.
Contoh: Orang miskin sanggup mencuri barang di supermarket untuk meneruskan hidup. Penjenayah pula sanggup membunuh.
2. Sakit Hati - orang yang berasa sakit hati pula akan melawan, memfitnah, menjatuhkan dan mereka-reka cerita buruk untuk melampiaskan kemarahannya. Ia akan melakukannya siang dan malam, pagi dan petang.
Contoh: Seorang pekerja akan melakukan sabotaj terhadap ketuanya apabila berasa sakit hati. Kewarasannya hilang. Kawan baik pun akan jadi musuh apabila berasa disakiti.
3. Dendam - daripada sakit hati yang berterusan menjadi dendam. Perasaan ini membawa kepada usaha untuk memusnahkan dan menjatuhkan seseorang sama ada dengan jalan mempengaruhi orang lain, sabotaj, fitnah dan membunuh. Membunuh di sini termasuk membunuh karakter musuh yang didendaminya.

Contoh: Ahli politik yang berdendam akan bertindak memusuhi dan berusaha untuk menjatuhkan lawannya dengan apa cara sahaja. Fitnah, naratif dan propaganda digunakan sepenuhnya atas alasan agama dan kaum. Selagi orang itu tidak jatuh, selagi itulah dia akan berusaha gigih untuk merosakkan musuhnya.
4. Kerana Wang - orang akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang, harta dan kekayaan. Kuasa digunakan untuk mengaut kekayaan. Wang digunakan untuk menjana kuasa dan kuasa akan digunakan untuk menghasilkan lebih banyak wang.
Contoh: Ahli perniagaan sanggup memberikan rasuah untuk mendapatkan projek besar. Penerima rasuah juga tamak dan mahukan lebih banyak wang lalu terus bersekongkol memberikan maklumat tertentu kepada ahli perniagaan itu.
5. Taksub - orang yang taksub kepada pemimpin atau sesuatu ajaran sanggup melakukan apa sahaja hatta berperang. Ini berlaku kepada pemimpin ajaran sesat. Betul atau salah tidak masuk perkiraan lagi, rasional akalnya sudah ditawan dan apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin dan kumpulan atau partinya dianggap betul. Kebenaran tolak tepi.
Contoh: Pengikut ajaran sesat sanggup membunuh. Mereka akan menganggap ia satu "jihad" dan kematian adalah "syahid".
6. Cinta - cinta juga akan menyebabkan seseorang sanggup berbuat apa sahaja, hatta membunuh atau membunuh diri. Cinta menjadikan seseorang berkhayal, bermimpi dan seolah-olah berada dalam alam lain. Untuk mendapatkan cintanya, seseorang akan berkorban apa sahaja.
Contoh: Cinta Romeo-Juliet berakhir dengan kematian kedua-duanya. Cinta Laila-Majnun menjadikan hidup mereka sengsara dan gila.
Keenam-enam keadaan ini menyebabkan manusia tidak lagi rasional. Akal dan fikiran menjadi rosak dan tindakan yang dilakukannya dianggap betul dan benar belaka, walaupun diketahui salah.
Adab, keadilan dan kebenaran tidak lagi menjadi pertimbangan dan asas kepada sebarang tindakan. Mereka yang terperangkap dalam keenam-enam perkara ini sanggup melakukan apa sahaja asalkan berasa puas.
Seseorang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain akan berusaha sehabis daya untuk menjatuhkan orang yang dibencinya atas nama kebebasan. Semua itu sebenarnya datang daripada bisikan syaitan.
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.





