
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 merupakan akta yang melanggar hak asasi manusia kerana sesiapa yang ditahan di bawah akta itu akan dipenjara sepanjang tempoh siasatan atau pendakwaan.
Ahli Parlimen Akmal Nasir (PH - Johor Bahru) berkata, tempoh tahanan 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Sosma tidak wajar diteruskan kerana jelas menzalimi rakyat.
"Kita tahu Sosma pengganti ISA. Suspek boleh ditahan selama 28 hari dan penahanan tak perlu bawa ke majistret. Selepas di dakwa dan dalam tempoh perbicaraan pun akan kekal dipenjara sementara menunggu keputusan
"Kerana stigma peguam pun tak nak dekat dengan suspek Sosma ini. Sebab itu YB PH dalam dewan ini (peguam) menang mereka sahajalah menjadi pilihan (rakyat) kerana tidak ada pilihan lain untuk mempertahankan mangsa Sosma .
"Dalam kes Jusnilawati, beliau ditahan Sosma pada 2015 dan yang menariknya 2019 Mahkamah Persekutuan telah membebaskan beliau kerana tiada pembuktian.
"Ada yang sebut undang undang ini boleh menahan seseorang tanpa bicara, sedangkan ada banduan telah dijatuhkan kesalahan hukuman penjara 12 tahun, 7 kes pecah amanah, Jun 2020 jatuh hukuman tetapi sampai hari ni bebas merata rata. Tetapi ibu tunggal ini (dalam kes Sosma) masuk penjara," katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat sesi petang.
Tegas Akmal, Menteri tidak wajar menganggap pencapaian apabila 3,717 orang individu pernah ditahan di bawah Sosma
Katanya, kementerian juga perlu mengeluarkan statistik daripada jumlah yang ditahan itu berapakah yamg ditahan tersebut anggota polis, tentera atau kakitangan kerajaan
"Apa yang berlaku akta ini juga memberi kesan kepada polis sendiri.
"Dari segi statistiknya 3,700 telah ditahan, yang didakwa di bawah kanun keseksaan hanya 126 orang. 520 orang telah dituduh di bawah penyeludupan pendatang asing.
"Bermakna hanya 17% yang didakwa akibat penahanan Sosma, maksudnya 80% lain gagal didakwa. Apakah nasib mereka?
"Kalau untuk keselamatan, banyak undang undang lain yang boleh diguna pakai. Saya dengan ini menolak usul dibawa oleh Menteri dan disarankan Sosma terus dimansuhkan," katanya lagi.
Seksyen 4, subseksyen (5) yang menyentuh soal tempoh tahanan 28 hari Sosma perlu disemak semula setiap lima tahun dan tidak terpakai melainkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara setuju untuk melanjutkannya.