Mansuhkan caj 15% dikenakan ejen kutipan hutang kepada PTPTN - Karen
- Akmal Manaf
- 1 hour ago
- 2 min read

Kerajaan diseru memansuhkan serta-merta caj 15% yang dikenakan oleh ejen kutipan hutang terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana ia didakwa menambah beban kewangan golongan yang sedang bergelut untuk melunaskan pinjaman pendidikan mereka.
Timbalan Bendahari Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi berkata, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada rakyat, khususnya golongan muda, yang bukan enggan membayar balik pinjaman PTPTN, sebaliknya berdepan kekangan kewangan serta mekanisme kutipan yang menambahkan lagi beban mereka.
Oleh itu katanya, Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diseru untuk segera mempertimbangkan perkara berkaitan termasuk membenarkan peminjam membuat rundingan dan penstrukturan semula bayaran secara terus dengan PTPTN tanpa perlu melalui syarikat pemungut hutang.
"Selain itu turut dicadangkan menubuhkan pusat rundingan semula PTPTN (one-stop centre) yang menyediakan saluran rasmi, telus dan mudah diakses oleh peminjam dan menilai semula mekanisme bayaran balik segera dengan menyediakan pilihan penstrukturan yang lebih fleksibel serta bantuan bersasar kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40.
"Selain itu, penggunaan simpanan KWSP bagi tujuan pembayaran balik pinjaman perlu dipastikan tidak terhakis akibat caj perantara yang tidak munasabah.

"Peminjam PTPTN tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penghutang, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang pernah diberikan peluang mendapatkan pendidikan tinggi dan kini sedang berusaha membina semula kestabilan kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Karen, sekiranya Kerajaan benar-benar komited melaksanakan reformasi PTPTN, usaha itu perlu dimulakan dengan mendengar suara peminjam sedia ada serta memperbaiki kelemahan dalam sistem pembayaran balik yang sedang dilaksanakan.
"Saya berharap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KPT dapat memberikan perhatian serius terhadap perkara ini agar sebarang perubahan dasar PTPTN pada masa hadapan dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih adil, telus, mampan dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Pada masa sama, saya juga menyambut baik kenyataan PM Anwar di Dewan Rakyat bahawa Kerajaan akan membincangkan cadangan berkaitan masa depan PTPTN.
"Namun, sementara Kerajaan meneliti kemungkinan pemansuhan atau penstrukturan semula PTPTN, perhatian segera juga perlu diberikan kepada ribuan peminjam sedia ada yang kini berdepan kesukaran untuk memenuhi komitmen bayaran balik mereka," kata Karen yang juga Exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat KEADILAN.
