Rang Undang Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini memberi peluang hakim menentukan hukuman mengikut budi bicara berdasarkan kadar seriusnya jenayah.
Dalam sesi menjawab soalan Ahli Parlimen, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh (PH - Bukit Gelugor) berkata peruntukan mandatori tersebut dimansuhkan berdasarkan beberapa kajian.
"Menurut Amnesty International Malaysia kajian membadingkan hukuman mati di Hong Kong dan Singapura, kedua duanya mempunyai saiz populasi sama untuk tempoh 50 tahun bermula tahun 1973, mendapati pemansuhan hukuman mati di Hong Kong dan Singapura di pertengahan 1990an mempunyai sedikit kesan ke atas (jumlah kes) pembunuhan
"Menurut Amnesty, di Kanada pula kadar pembunuhan setiap 100,000 penduduk jatuh dari 3.09 dari tahun 1975, iaitu tahun sebelum hukuman mati bagi kesalahan membunuh dimansuhkan, kepada 2.41 padan tahun 1980 (selepas pemansuhan)," katanya.
Menurut Ramkarpal, pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi kesan kepada jenayah pengedaran dadah yang mana hukuman mati hanya diperkenalkan pada 1983 dan sebelum itu di atas budi bicara hakim menjatuhkan hukuman.
"Beberapa Ahli Parlimen menimbulkan sama ada hakim akan melaksanakan hukum mati sekiranya diberi budi bicara.
"Saya mahu menarik perhatian bahawa keadaan sebelum 1983 di mana pada masa itu tiada hukuman mandatori untuk kes pengedaran dadah. Hukuman hanya diperkenalkan dalam pindaan undang undang 1983.
"Tetapi sekiranya kita lihat kes kes diputuskan mahkamah, kita lihat walau masa itu hukuman mati tidak mandatori, bersifat budi bicara mahkamah tetapi ada mahkamah mengenakan hukuman mati waktu itu. Jadi apa yang perlu ditekankan di sini setiap kes adalah unik berdasarkan keadaannya.
"Ini perlu diambil kira oleh setiap mahkamah yang mendengar kes. Kalau kes melibatkan bunuh yang kejam, itulah sebab budi bicara dikekalkan, atau diberi kepada hakim untuk mengenakan hukuman mati. Kita perlu ingat penghapusan atau perkembangan undang undang (ini) bukannya menghapuskan hukuman mati secara sepenuhnya," jelasnya.
Rang Undang-undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 kemudian diundi menerusi undi suara dan lebih banyak suara mengatakan setuju berbanding tidak.
RUU tersebut melibatkan pindaan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori kepada kesalahan-kesalahan berkaitan melibatkan beberapa akta, termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan.
Tempoh maksimum hukuman penjara untuk kesalahan-kesalahan ini pula sebanyak 10 tahun.
Di bawah pindaan ini, hukuman penjara minimun bagi kesalahan yang sebelum ini membawa kepada hukuman mati ditetapkan 30 tahun, manakala tempoh maksimum adalah 40 tahun.
Commentaires