Manifesto PH diteruskan kerajaan PN


Manifesto Pakatan Harapan (PH) berhubung usaha pengasingan peranan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara bagi mengelakkan pendakwaan bermotifkan politik akan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan laporan inisiatif itu dan akan dibentangkan jemaah menteri pada hujung tahun ini.


"Inisiatif untuk mengasingkan peranan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara merupakan strategi kajian separuh penggal kerajaan PH dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan pelan anti-rasuah negara ini diteruskan oleh kerajaan ini.


"Jabatan Peguam Negara adalah agensi penyelaras dan pelaksana dan sedangkan memuktamadkan laporan kajian pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk pindaan 145 Perlembagaan Persekutuan untuk dibentangkan jemaah menteri dijangka hujung tahun ini," katanya di Dewan Rakyat.


Namun Takiyuddin berkata, walaupun pindaan Perlembagaan perlu dibuat, ia tidak memerlukan majoriti dua pertiga seperti yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.


"Sememangnya dalam Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, dewan memerlukan undian dua pertiga bagi membuka laluan pemisahan peranan itu dan membolehkan dua individu dilantik menjalankan fungsi ini.


"Namun demikian, perkara yang baik seumpama ini tidak semestinya memerlukan majoriti di pihak kerajaan sahaja.


"Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman misalnya telah mengambil inisiatif baik walaupun masa itu kerajaan PH tidak mempunyai dua per tiga majoriti tetapi dengan libat urus dibuat dengan pembangkang, undi 18 dapat diteruskan.


"Saya percaya perkara ini akan disokong rakan pembangkang dan kita boleh meminda Perlembagaan," katanya.


Bagaimanapun Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tampil mempertahankan pendirian PH dan mengapa pentingnya undian majoriti dua per tiga di Parlimen.


"Ini perkara yang ada dalam manifesto PH, persoalan majoriti memang diperlukan bagi pihak PH, sebab kami beri jaminan sekiranya dibawa usul ini kita akan menyokong sepenuhnya, kerana ini akan memberikan kebebasan dan untuk menentukan bahawa tidak ada pendakwaan yang bermotifkan politik.


"Isu ini amat mencemarkan suasana negara kita ketika ini di mana baru-baru ini berbagai dakwaan ataupun tindakan pendakwaan yang ramai mentafsirkan bermotifkan politik dan kita harap dengan pindaan ianya akan dihentikan," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio