Malaysia unjur capai 49 peratus SDG, lepasi purata global
- Suara Keadilan
- 53 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 49 peratus bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030, jauh mengatasi purata global 18 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka tersebut menunjukkan tanda positif namun negara ini masih mempunyai banyak perkara perlu ditangani berkaitan fokus utama SDG.
"Di sebalik angka positif ini, masih banyak yang harus kita tangani khususnya terkait 10 Fokus Utama SDG negara, dari isu malpemakanan (kurang zat makanan) kanak-kanak, kesihatan mental, pengurusan murid berkeperluan khas hinggalah peluang pekerjaan buat golongan kurang upaya," katanya dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2025 di Kementerian Ekonomi, Putrajaya hari ini.
Hadir sama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang kini memangku jawatan Menteri Ekonomi dan menteri-menteri Kabinet.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan usaha mencapai SDG menuntut kerjasama semua pihak merentasi kerajaan Persekutuan, negeri, swasta dan masyarakat sivil agar tiada insan yang tersisih daripada arus pembangunan negara.
"Kerajaan MADANI kekal komited terhadap agenda SDG yang bergerak seiring pelaksanaan RMK-13, menuju kemajuan yang terangkum, mampan dan sejahtera demi masa depan anak-anak kita dan bumi yang kita cintai," ujar beliau.





