Malaysia, Turkiye sepakat guna segala keupayaan bela Palestin
- Suara Keadilan

- Jun 6
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia dan Turkiye menyatakan kesepakatan untuk menggunakan segala wahana serta keupayaan bagi membela nasib rakyat Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkara itu dinyatakan dalam panggilan telefon oleh Presiden Recep Tayyib Erdogan petang semalam dalam perutusan salam sempena sambutan Aidiladha esok.
"Saya menyatakan penghargaan atas suara dan pendirian teguh beliau yang konsisten dalam memperjuangkan suara warga Palestin yang tertindas.
"Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdoğan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin," kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata beliau dan Erdogan turut membincangkan mengenai kunjungan rasminya ke Malaysia baru-baru ini yang tidak hanya membekas, malah memperkukuh asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
"Ia merupakan antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara, tidak sekadar pertukaran protokol malah turut disulami dengan rundingan yang substantif menyentuh kepentingan bersama," ujarnya.
Anwar berkata beliau melihat kunjungan Erdogan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu antara kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat.
"Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.
"Dalam semangat Aidiladha, pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi, Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan," kata beliau.









Comments